Home Berita PAS Terengganu

Graduan Cina terima PhD Pendidikan Islam

113
SHARE

KUALA NERUS – Seorang graduan berbangsa Cina menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pendidikan Islam pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA kali-12 di Dewan Al Muktafi Billah Shah, Kampus Gong Badak, kelmarin.

Datuk Dr. Ang John Sun, 55, berkata, dia begitu gembira kerana dapat menunaikan amanat mendiang ibunya yang memintanya menyambung pengajian sehingga peringkat PhD.

“Ibu saya teringin sekali melihat saya mendapat PhD dan hari ini saya sangat gembira kerana dapat merealisasikan impian dia walaupun sudah tiada.

“Sedih juga sebenarnya kerana semasa mendaftar Phd di UniSZA, dia datang menemani saya dan dia sangat gembira saya melanjutkan pengajian sehingga peringkat PhD,” katanya.

Katanya lagi, tinggal bersama masyarakat Melayu membuatkannya sentiasa berkomunikasi bahasa Melayu dengan fasih serta minat mendalami ilmu Pendidikan Islam.

“Saya mula pengajian PhD pada tahun 2018 dan sebelum ini Sarjana Sains di UPM dan Ijazah Sarjana Muda Ilmu Kemanusiaan di USM.

“Masa SPM saya ambil mata pelajaran Pendidikan Islam dan sekarang pun saya mengajar Bahasa Melayu di sekolah,” katanya yang juga Ketua Bidang Bahasa di SMK Badak Bachok, Kelantan.

Bapa kepada anak kembar lelaki dan perempuan itu hadir ke majlis konvokesyen bersama isterinya, Datin Kee Hui Bin, 50.