Home Berita PAS Terengganu

Golongan pendidik perlu pertahankan etika perguruan

214
SHARE

KUALA NERUS –  Golongan pendidik harus sentiasa menyedari profesion mereka amat dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat serta perlu mempertahankan integriti perguruan tersebut.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, golongan berkenaan perlu mengekalkan etika, integriti dan profesionalisme mereka dalam mendidik anak bangsa.

“Ini (guru dan pendidik) merupakan satu kumpulan yang banyak menyumbang kepada masyarakat sebab itu saya tekankan bahawa amat penting supaya guru-guru terus mempertahankan penghormatan yang diberikan oleh masyarakat kepada profesion ini.

“Mereka perlu memastikan segala tindak-tanduk, tingkah laku dan pendekatan yang diambil itu adalah satu pendekatan yang penuh beretika berdasarkan etika perguruan dan terus mempertahankan integriti perguruan itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu dan tema sambutan Hari Guru ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’ sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-51 Tahun 2022 di sini, malam tadi.

Katanya, gerakan yang mula diperkenalkan pada 2018 tersebut merupakan sebahagian pendekatan untuk membawa masyarakat bersama-sama menginsafi segala pengorbanan, jasa dan ilmu yang dicurahkan oleh guru kepada anak didik mereka.

Dalam perkembangan lain, Radzi berkata selain penyediaan lokar di sekolah rendah,kementerian juga sedang memperincikan untuk menghadkan jumlah mata pelajaran, bagi mengurangkan jumlah buku yang perlu dibawa oleh murid

Katanya jumlah mata pelajaran tersebut, merupakan antara tujuh ketetapan diperincikan Kementerian Pendidikan (KPM), yang bakal dilaksanakan bagi menangani isu beg berat dihadapi murid.