Home Berita PAS Pahang

Gerobok Rezeki meringankan bebanan masyarakat setempat

97
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 22 Feb – Gerobok Rezeki atau dikenali juga sebagai Bakul makanan yang diberikan kepada golongan memerlukan sangat penting dan telah banyak membantu mereka pada waktu yang terdesak.

“Kita semua dibeban dengan perbelanjaan yang semakin meningkat, anak akan bersekolah, kemudian menyambut puasa dan selepas itu nak raya pulak.

“Sebahagian dari kita terasa sangat tertekan dalam menguruskannya, maka nasihat saya kita mengadulah kepada Allah swt dengan seikhlasnya untuk mendapat rasa tenang dan damai dalam hati walaupun kita ada masalah.

“Kita juga kena bersabar dan berhemah dalam menguruskan kehidupan, kewajipan yang perlu kita penuhi adalah makan minum pakaian untuk keluarga adalah perkara yang wajib.

“Perkara yang diluar keperluan kita, ketepikan dahulu, sekiranya ada kelebihan barulah dipertimbangkan,”

Begitulah antara kata-kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah Andansura Rabu ketika berjumpa dengan warganya di Kampung Beserah di sini baru-baru ini.

Dalam pertemuan tersebut seramai 30 orang telah menerima barangan keperluan dapur seperti beras, gula, tepung gandum dan sebagainya.

Sementara itu Pengurus Gerobok Rezeki Asmah Awang berkata, orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan barangan sangatlah dialu-alukan bagi membolehkan lebih ramai yang mendapat faedah dan manfaat daripada program tersebut.

Tambahnya lagi, walaupun ada di antara penerima yang memiliki pekerjaan, namun masalah hutang dan tanggungan yang ramai, menyebabkan mereka terputus bekalan terutama pada pertengahan bulan.

Justeru, bantuan seumpama ini dapat memberi `nafas’ kepada mereka sementara menunggu menjelangnya hari gaji.

Turut hadir dalam program ini adalah Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan Beserah Tengah, Ketua Muslimat PAS Cawangan Beserah Tengah Rohana Mohamed dan ahli jawatankuasanya serta Pegawai Khidmat DUN Beserah.