Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

“Genggam Azammu Setinggi Langit”

159 views
SHARE

Ucapan Khas PT3: 

“Genggam Azammu Setinggi Langit”

Keputusan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) telah diumumkan hari ini. Setinggi tahniah dan syabas buat semua calon yang telah berjaya dengan cemerlang! Ucapkan alhamdulillah serta zahirkan lafaz terima kasih kepada kedua ibu bapa atau penjaga, para pendidik serta rakan sebaya anda.

Peperiksaan hanya suatu cabang akademik dalam hidup bagi insan bergelar pelajar. Usaha, pengorbanan dari segi masa, tenaga, wang dan sebagainya telah terpapar dengan sekeping keputusan pagi ini.

Namun, andai keputusan itu tidak memihak dan kurang cemerlang, jangan putus asa. Teruslah genggam azam dan lebih berusaha untuk mencapai kejayaan mendatang.

Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Ra’d ayat 11:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا۟ مَا بِأَنفُسِهِمْ ۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوْمٍ سُوٓءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥ ۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.”

Potensi diri perlulah digilap dalam diri. Dalam membina potensi diri ianya memerlukan jiwa besar lagi kental daripada semua pihak. Justeru, menjadi kewajipan ibu bapa merancang dan membangunkan aspek rohani dan minda anak-anak. Ketahuilah bahawa dorongan, semangat, perangsang, bimbingan dan kata-kata nasihat ibu bapa sangat membantu dalam membentuk jati diri anak-anak.

Dewan Muslimat PAS Malaysia merakamkan tahniah buat seluruh calon-calon PT3 yang telah berusaha dengan sedaya upaya. Insyaallah semoga terus menjadi anak bangsa yang berguna lagi bermanfaat untuk keluarga, agama, bangsa dan negara.

“Islam Memimpin”

“Muslimat Istiqamah Memacu Kemenangan”

NURIDAH MOHD SALLEH

Ketua

Dewan Muslimat PAS Malaysia

5 Rabiul Akhir 1440H

13 Disember 2018