KUALA TERENGGANU – Penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk disaran mngambil peluang mengadu permasalahan kawasan mereka di Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS) yang sedang berlangsung di perkarangan Masjid Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Nor Hamzah berkata, program yang bermula semalam itu menyediakan pelbagai maklumat dan peluang yang perlu diambil masyarakat setempat.
“Karnival ini diadakan untuk mendekatkan rakyat dengan seluruh agensi kerajaan dan pimpinan peringkat DUN.
“Jadi, rakyat sepatutnya datang ke reruai disediakan untuk bertanya maklumat dan peluang selain mengadu permasalahan semasa mereka.
“Dalam waktu sama, kerajaan negeri juga menggunakan karnival ini untuk menyatakan polisi dan tawaran semasa kepada rakyat di peringkat lebih khusus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival TMBS DUN Batu Buruk, malam tadi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi, pemimpin masyarakat setempat serta wakil-wakil agensi terlibat.
Tambahnya, kejayaan dalam membangunkan negeri merupakan usahasama kerajaan negeri dan rakyat dan tidak mampu dijayakan oleh sebelah pihak.
“Kita berada di landasan yang tepat walaupun ada kelemahan dan kekurangan, tetapi kita tidak patut menyekat landasan yang dibina dengan sebaik mungkin.
“Kita harap karnival ini menjadi cetusan agar rakyat menjadi lebih bersemangat dan pimpinan menjadi lebih dekat untuk mengeratkan persaudaraan dan penyatuan dalam negeri Terengganu ini,” katanya.
Dalam program selama tiga hari itu, pelbagai aktiviti diadakan beserta tawaran cabutan bertuah berupa tiga buah motosikal kepada pengunjung.