Home Berita PAS Perak

Muslimat raikan pekerja sempena Hari Buruh

219
SHARE

Oleh : NurAsilah Noor

TELUK INTAN, 7 MEI : Lajnah Pengguna Muslimat Teluk Intan telah menganjurkan program sempena Hari Buruh yang disambut pada setiap 1 Mei saban tahun, baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa Muslimat telah hadir berkumpul di hadapan bangunan Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI) sebelum bergerak menyertai dua kumpulan ke lokasi yang telah ditetapkan.

Sebanyak 50 beg ‘goodies’ telah disediakan untuk diedarkan kepada pekerja stesyen minyak terpilih sekitar Teluk Intan serta pengawal keselamatan sekolah yang berhampiran.

“Kita tidak seharusnya melupakan jasa dan pengorbanan petugas yang bekerja secara ‘syif’ kerana mereka sanggup berkorban siang dan malam bagi memastikan keperluan setiap anggota masyarakat dipenuhi,” kata Timbalan Ketua Muslimat, Hamisah Abas ketika turut bersama dalam program itu.

Antara lokasi yang dikunjungi ialah, Stesyen minyak Petronas Batu 3 Cicely, Stesyen minyak Petron Kampung Bahagia, Stesyen minyak Buraq Oil, Stesyen minyak Caltex dan yang berdekatan bandar Teluk Intan.

Salah seorang pengawal keselamatan yang disantuni mengucapkan terima kasih dan terharu atas ingatan yang diberikan serta berharap masyarakat Malaysia tidak meminggirkan serta menghargai pekerja seperti mereka.

Turut hadir, Setiausaha Muslimat, Saadah Abas, Ketua Lajnah Pengguna, Suhailah TajulArifin serta ahli jawatankuasa yang lain.