Home Berita PAS Perlis

‘Fun Run’ PASTI Perlis dapat sambutan meriah

211
SHARE

Oleh AHMAD AZAMUDDIN

KANGAR, 17 Okt: Program ‘Fun Run’ yang dianjurkan PASTI Negeri Perlis berlangsung dengan meriah dengan kehadiran lebih 1,000 orang yang membanjiri Arena Futsal Stadium Utama Kangar, di sini pada Ahad lalu.

Program berkenaan diadakan bersempena dengan sambutan hari Sukan Negara.

Seramai 250 orang pelajar PASTI berusia 4, 5 dan 6 tahun mengambil bahagian.

Pelepasan acara disempurnakan oleh Ketua Pemuda PAS Negeri Perlis, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil.

Rata-rata ibu bapa yang ditemui berkata, anak mereka begitu teruja menyertai acara berkenaan yang julung-julung kali diadakan, malah tidak kurang pula yang mencadangkan supaya ianya diadakan lagi.

Sementara itu, Ustaz Asrul yang ditemui berkata, dua acara sepatutnya dijalankan pada hari tersebut iaitu ‘Fun Run’ dan ‘Fun Ride’.

“Namun, keadaan hujan yang amat lebat sejak awal pagi memaksa kami melaksanakan hanya satu acara sahaja.

“Sungguhpun demikian, acara tetap berlangsung meriah kerana sudah sekian lama para pelajar tidak dapat beraktiviti secara bersemuka seperti ini akibat pelaksanaan PKP,” katanya.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang turut sama membantu menjayakan acara berkenaan, antaranya para guru PASTI, Majlis Guru-guru PASTI (MGP) Perlis, Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis (JAMNPs) dan Alternative Riding Club (ARC) Negeri Perlis.