Oleh : HABSAH ALI
INDERA MAHKOTA, 2 Apr – Seramai lebih 500 orang frontliners atau petugas barisan hadapan di DUN Beserah diraikan dengan pemberian biskut raya di sini hari ini.
“Sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri kita santuni frontliner sebagai menghargai pengorbanan mereka yang bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan terbaik di pelbagai sektor perkhidmatan,” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah Andansura Rabu.
“Inilah pengorbanan frontliner tanpa mengira masa dan keadaan demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan kita, yang perlu kita hargai, dan melihat ianya sebagai satu perkara penting untuk kita memberi sokongan kepada mereka yang bertugas,” ujar beliau lagi.
Beliau telah menyampaikan biskut raya di Balai Polis dan Pusat Kesihatan dalam DUN Beserah iaitu di Balai Bomba Gebeng, Balai Polis Gebeng, Balai Polis Beserah, Balai Polis Cherating, Poliklinik Beserah, Kelinik Kesihatan Balok, Cherating, Chendur dan Sungai Ular.
Menurut beliau biskut raya tersebut adalah sumbangan dari Pertubuhan Cakna Hal Ehwal Wanita (Helwa Care) Kuantan bersama Skuad Prihatin Dewan Muslimat PAS (DMP) Indera Mahkota.
“Saya merakamkan jutaan terima kasih di atas usaha mereka yang telah mencari dana dan telah memberi peluang kepada saya untuk berjumpa dengan frontliner, saya tidak mendapat peruntukan dari kerajaan untuk melaksanakannya.
“Terima kasih juga kepada penyumbang-penyumbang semoga usaha anda ini diberkati dan mendapat reda Allah,” ujar beliau lagi.
Turut hadir dalam program ini adalah Pengerusi Helwa Care Kuantan Salwani Saleh, Ketua Skuad Prihatin DMP Indera Mahkota Azmoni Mohamed dan Jawatan Kuasa Muslimat PAS di setiap cawangan yang terlibat dalam DUN Beserah.