Home Berita PAS Perlis

Food Bank Inisiatif Terbaru GS Care Bantu Penduduk

723
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

ARAU : Nama GS Care bukanlah sebuah nama yang asing kepada masyarakat yang tinggal dalam Parlimen Arau, khususnya di DUN Guar Sanji.

Berstatus sebagai sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), GS Care atau nama penuhnya Pertubuhan Kebajikan Guar Sanji Perlis merupakan antara NGO yang sangat aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan di negeri Perlis.

Buktinya hampir setiap minggu NGO berkenaan turun padang mengadakan pelbagai program bersama masyarakat seperti jualan amal, serahan bantuan dan aktiviti khidmat masyarakat dalam DUN berkenaan.

Terbaru, GS Care telah mewujudkan Food Bank bertempat di Warung GS Care dekat sini, dengan tema ‘Jom Kita Berkongsi Rezeki’ sebagai satu lagi inisiatif membantu meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan.

Menerusi projek terbaharu ini, masyarakat di negeri ini dipelawa menyumbang barangan keperluan asas seperti beras, gula, garam, minyak masak dan sebagainya, untuk diserahkan kepada para penduduk yang memerlukan.

Pengerusinya Fakhruddin Mohamad Yusof yang dihubungi berkata, sumbangan berbentuk kewangan juga amat dialu-alukan bagi memastikan program-program kemasyarakatan yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Sumbangan kewangan untuk Tabung Kebajikan GS Care boleh disalurkan menerusi akaun Bank Muamalat bernombor 0901-0003306-71-4 atas nama Pertubuhan Kebajikan Guar Sanji Perlis (GS Care).

“Insya Allah, harapan kami dengan adanya Food Bank ini akan membolehkan lebih ramai masyarakat sekitar Guar Sanji mendapat manfaatnya,” katanya.