Home Berita Dewan Ulamak PAS Pusat

Fiqh Al-Nasr Wa Aa-Tamkin (Fekah Kemenangan Dan Kekuasaan)

3279
SHARE


FIQH AL-NASR WA AL-TAMKIN

(FEKAH KEMENANGAN DAN KEKUASAAN)

Oleh: Mohd Asri Mat Daud

1.0 MUKADIMAH

Sesungguhnya  perjuangan menegakkan agama Allah SWT memerlukan pengorbanan dan kesabaran yang tinggi. Allah telah menjanjikan kemenangan dan kekuasaan kepada umat Islam bertapak di muka bumi. Kemenangan dan kekuasaan ini sudah pasti diizinkan apabila pra-syarat dilengkapi sebagaimana pesanan Nabi Musa A.S  kepada kaumnya melalui firman Allah:

 

قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ اسْتَعِينُوا بِاللَّهِ وَاصْبِرُوا ۖ إِنَّ الْأَرْضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۖ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Berkatalah Musa berkata kepada kaumnya: Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, Dia mewariskannya kepada sesiapa yang dikehendaki daripada kalangan hamba-hambaNya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa”. (Al-A’raf:128)

 

Perjuangan mendirikan hukum Allah termasuk apa yang telah diusahakan oleh Parti Islam Se-malaysia (PAS) adalah gerak kerja amal soleh yang mampu melahirkan seramai mungkin golongan Al-Solehun di negara ini. Allah SWT menjelaskan lagi bahawa kekuasaan ini akan dimiliki oleh golongan yang beramal soleh dan tunduk akur kepada titah perintah Allah. Firman-Nya lagi:

وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ مِنْ بَعْدِ الذِّكْرِ أَنَّ الْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُونَ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab Zabur setelah tertulis didalam Al-Zikr (Luh Mahfuz)  bahawa bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh”. (Al-Anbiya’:105)

 

Agama Islam akan kembali berkuasa menaungi sekalian manusia pada waktu yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Allah telah meletakkan pra-syarat agar umat Islam sentiasa mempastikan diri mereka berada dalam status beriman dan beramal soleh bagi meraih anugerah kemenangan dan kekuasaan di bumi. Firman Allah SWT:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya: “Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh daripada kalangan kamu bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa. Dan Dia akan mengembangkan serta memperteguhkan agama mereka yang telah diredhai-Nya untuk mereka. Dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (daripada ancaman musuh). mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq”. (Al-Nur:55)

 

2.0 PEMAHAMAN SEKITAR FIQH AL-NASR WA AL-TAMKIN

Untuk mendapat kemenangan dan kekuasaan di muka bumi ini memerlukan kepada kefahaman yang mendalam serta gerak kerja yang terancang atau dalam erti kata lain, umat islam mesti mendalami Fiqh Al-Nasr Wa Al-Tamkin. Allah SWT telah mendatangkan maksud Al-Nasr dan Al-Tamkin dalam banyak ayat-ayat Al-Quran. Kalimah Al-Nasr dengan pelbagai tashrif disebut sebanyak 142 kali sementara Al-Tamkin melebihi 16 kali. Al-Tamkin mempunyai banyak makna dan antaranya ialah Al-Nasr (kemenangan), Al-Ghalab (penguasaan), Al-Fawz (kejayaan), Al-Haiminah (penaklukan), Al-Irth (pewarisan) dan Al-Istikhlaf (pemerintahan).

 

Dalam menjelaskan maksud Al-Tamkin yang kebanyakannya didahului dengan Al-Nasr ini, Al-Quran telah memaparkan beberapa kisah yang perlu diambil peringatan oleh penegak agama Allah pada hari ini. Antaranya, firman Allah SWT berkaitan pemerintahan Raja Zulqarnain:

إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الْأَرْضِ وَآتَيْنَاهُ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya”. (Al-Kahfi: 84)

Dalam ayat yang lain, Allah menerangkan tentang tamkin yang telah dianugerahkan kepada Nabi Yusuf A.S melalui firman-Nya:

وَكَذَٰلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِي الْأَرْضِ وَلِنُعَلِّمَهُ مِنْ تَأْوِيلِ الْأَحَادِيثِ ۚ وَاللَّهُ غَالِبٌ عَلَىٰ أَمْرِهِ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan demikianlah caranya Kami menetapkan kedudukan Yusuf di bumi, dan untuk Kami mengajarnya sebahagian daripada ilmu takbir mimpi. Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkan-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.  (Yusuf:21)

 

3.0 QANUN AL-NASR WA AL-TAMKIN

Untuk meraih kemenangan disisi Allah SWT, para pejuang agama Allah mestilah memenuhi pra-syarat kemenangan dan kekuasaan, iaitu:-

3.1 YAKIN BAHAWA KEMENANGAN HANYALAH MILIK ALLAH

Dalam hal ini, Allah SWT berfirman:

قَالَ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُمْ مُلَاقُو اللَّهِ كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ

 

Maksudnya: “Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang ramai dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”.  ( Al-Baqarah: 249)

3.2 YAKIN BAHAWA ALLAH MENOLONG ORANG YANG MENOLONG AGAMA-NYA

Firman Allah SWT:

وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Allah pasti akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Kuasa”. ( Al-Hajj:40)

 

3.3 YAKIN BAHAWA NUSRAH HANYA UNTUK ORANG BERIMAN

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ رُسُلًا إِلَىٰ قَوْمِهِمْ فَجَاءُوهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ فَانْتَقَمْنَا مِنَ الَّذِينَ أَجْرَمُوا ۖ وَكَانَ حَقًّا عَلَيْنَا نَصْرُ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (Wahai Muhammad) Rasul-Rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan-keterangan yang jelas lagi nyata. Kemudian Kami menyeksa orang-orang yang melakukan kesalahan (jenayah) dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.  (Al-Rum:47)

 

4.0 ASAS DAN MUWASOFAT GENERASI AL-NASR DAN AL-TAMKIN

Selain daripada umat Islam apatah lagi para pendakwah Islam mesti melengkapi diri dengan pra-syarat kemenangan dan kekuasaan, mereka hendaklah sentiasa mempastikan diri memiliki sifat-sifat hamba Allah yang sentiasa diberi pertolongan oleh-Nya. Sifat-sifat ini adalah asas utama kepada kekuatan umat Islam yang berakhir dengan kemenangan besar. Asas-asas tersebut ialah:

4.1 NUSRAH DAN TAMKIN DATANG MELALUI KESATUAN TEGUH

Allah SWT telah mengarahkan kepada umat Islam agar sentiasa membina kesatuan yang utuh dengan mengelakkan daripada segala pertelingkahan kerana ia akan melambatkan proses kemenangan, firman Allah SWT:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai..”  (Al-Imran:103)

 

Allah bukan sahaja mengarahkan supaya umat Islam menjaga kesatuan mereka, bahkan mereka diingatkan supaya tidak menjadi seperti orang-orang kafir yang telah memecah-belahkan agama mereka sehingga menjadi berpuak-puak dan berparti-parti. Firman Allah SWT:

مُنِيبِينَ إِلَيْهِ وَاتَّقُوهُ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَلَا تَكُونُوا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا ۖ كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ

Maksudnya: “Hendaklah kamu (wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu) sentiasa rujuk kembali kepada Allah serta bertaqwalah kamu kepadanya; dan kerjakanlah sembahyang dan janganlah kamu menjadi sepertimana golongan musyrik. Iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya”. (Al-Rum:31-32)

 

4.2 NUSRAH DAN TAMKIN MELALUI ISTIQAMAH SERTA TIDAK BERPUTUS ASA

 

Segala ujian, cabaran, kesukaran, kekalahan, kematian dan sebagainya dalam perjuangan Islam adalah proses kematangan umat Islam. Perhatikanlah pengajaran yang telah dinyatakan oleh Allah disebalik kelemahan kaum muslimin dalam peperangan Uhud sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Aali-Imran:

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ
إِنْ يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِثْلُهُ ۚ وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنْكُمْ شُهَدَاءَ ۗ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ

 

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berasa lemah dan janganlah kamu berdukacita terhadap apa yang akan menimpa kamu, padahal kamulah orang-orang yang memiliki ketinggian jika kamu orang yang benar-benar beriman. Jika kamu mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum musyrik yang mencerobohi kamu itu telah tercedera juga dan mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari bahawa Kami gilirkan sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman dan yang sebaliknya, juga supaya Allah menjadikan sebahagian daripada kamu orang-orang yang mati syahid. Dan ingatlah, Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka) serta membinasakan golongan kuffar”.  (Aali-Imran: 139-141)

 

Nabi SAW sendiri telah menegaskan bahawa Allah pasti akan menganugerahkan kemenangan kepada golongan pemberani dan yang istiqamah menegakkan perjuangan agama-Nya sebagaimana dalam sabdanya:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي قَائِمَةً بِأَمْرِ اللَّهِ ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ أَوْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ ظَاهِرُونَ عَلَى النَّاسِ

Maksudnya: Akan tetap ada di kalangan umatku suatu golongan yang mendirikan tuntutan Allah. Tidak akan memudharatkan mereka golongan yang menentang atau menyanggahi mereka sehinggalah Allah mendatangkan ketentuan-Nya (kemenangan) dan mereka berjaya menguasai sekalian manusia. (Riwayat Imam Muslim)

 

4.3 MUWASOFAT GENERASI AL-NASR WA AL-TAMKIN

4.3.1 JAIL AL-AMAL

Tidak pernah berlaku dalam sejarah perjuangan Islam, terjadinya kemenangan secara cepat, begitu juga dalam perjuangan mana-mana Nabi, tidak pernah berlaku hari ini mereka berjuang, lalu pada keesokan harinya terus menerima kemenangan daripada Allah. Sebaliknya, mereka juga tidak terlepas daripada ujian dan rintangan yang menjadi sunnatullah dalam perjuangan Islam. Sesungguhnya kemenangan itu sangat menghampiri penegak kebenaran, namun memerlukan kepada gerak kerja berterusan diposisi masing-masing. Kata As-Syahid Syed Qutb:

وَاللهِ إِنَّ النَّصْرَ فَوْقَ الرُّءُوسِ يَنْتَظِرُ كَلِمَةَ كُنْ فَيَكُوْنَ فَلاَ تَشْغَلُوْا أَنْفُسَكُمْ بِمَوْعِدِ النَّصْرِ اِنْشَغِلُوْا بِمَوْقِعِكُمْ بَيْنَ الحَقِّ وَالبَاطِلِ

Maksudnya: Demi Allah, sesungguhnya kemenangan itu sudah berada diatas kepala kita hanya menunggu seruan Kun Fayakun (Jadi, maka jadilah kemenangan itu). Maka jangan kamu sibukkan diri kamu dengan janji kemenangan, sebaliknya sibukkanlah (diri kamu) di posisi masing-masing menjelaskan yang hak dan yang batil .

 

4.3.2 JAIL AL-MAHABBAH

Generasi yang cintakan Allah dan Allah mencintainya bermaksud golongan yang sentiasa mendahulukan hak Allah serta memperjuangkannya walaupun berhadapan dengan pelbagai tribulasi dan caci-maki. Dalam hal ini, Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚ ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas terhadap orang-orang kafir. Mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Maha Mengetahui”. (Al-maidah:54)

 

4.3.3 JAIL ‘RIJAL SHODAQU’

Generasi Rijal Shodaqu adalah mereka yang sentiasa tegas berprinsip dan benar terhadap segala janji dan baiah yang diungkapkan kepada Allah. Firman Allah SWT:

مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Maksudnya: “Di kalangan orang-orang yang beriman itu, ada pembela (agama) yang berani, mereka bersikap benar dan menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah. Maka di antara kalangan mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran. Dan mereka tidak merubah (janjinya) sedikitpun”. (Al-Ahzab:23)

 

4.3.4 JAIL AL-JIHAD WA AL-SHOBR

Sifat sabar dalam berjuang dengan meneruskan perjuangan tanpa ragu-ragu adalah asbab besar kemenangan daripada Allah SWT. Segala ujian adalah lumrah dan sunnah perjuangan yang sememangnya Allah berikan kepada hamba-Nya sebagaimana firman Allah:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّىٰ نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنْكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, Kami tetap menguji kamu sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar; dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu”.  (Muhammad:31)

 

Sementara dalam ayat lain Allah menggambarkan keadaan-keadaan yang dilalui oleh golongan yang sabar dan sudah tentu dengan kesabaran itu, Allah mengasihi dan menganugerahkan kemenangan kepada mereka. Allah berfirman:

وَكَأَيِّنْ مِنْ نَبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Dan berapa ramai daripada kalangan Nabi-Nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar”. (Aali-Imran:146)

 

4.3.5 JAIL AL-SAM’IE WA AL-THO’AH

Generasi yang sentiasa akur dan taat kepada perintah Allah, Rasul dan kepimpinan yang beriman mesti dilahirkan sepanjang zaman khasnya dalam perjuangan PAS di tanah air. KPI kepada kemenangan besar dalam sesebuah perjuangan dan gerakan islam ialah terletak kepada sejauh mana ramainya generasi Al-Muthi’ memenuhi ruang-ruang perjuangan Islam. Oleh kerana itu, Rasulullah SAW menegaskan agar ketaatan dan kepatuhan sentiasa menjadi keutamaan, sabda baginda SAW:

عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ فِيْمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ، إِلاَّ أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ، فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ، فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ

Maksudnya: “Wajib ke atas seseorang muslim untuk mendengar dan taat (kepada pemimpin) pada perkara yang dia sukai atau benci kecuali jika dia disuruh untuk berbuat kemaksiatan. Jika dia disuruh untuk berbuat kemaksiatan, maka tidak boleh untuk dengar dan taat.”  (Riwayat Imam Bukhari)

Sekiranya sesuatu keputusan telah dibuat oleh kepimpinan, maka wajib kepada seluruh ahli atau pengikut mentaati keputusan tersebut tanpa mempersoalkan lagi kekurangan yang ada apatah menentang keputusan tersebut. Dalam hal ini Sheikh Muhammad Abdullah Al-Khatib ada berkata:

وَفِيْ ظِلِّ الشُّورَى لِلْأَفْرَادِ أَنْ يُبْدُوْا آرَاءَهُمْ، وَحِيْنَمَا تَنْتَهِى الجَمَاعَةُ إِلَى رَأْيٍ عَلَى الجَمِيْعِ الِالْتِزَامُ بِهِ تَوْحِيْدًا لِلْكَلِمَةِ وَالتَّوَجُّهِ، وَلَا يَجُوْزُ لِصَاحِبِ الرَّأْيِ المُخَالِفِ أَنْ يَتَحَدَّثَ بَعْدَ ذَلِكَ عَنْ رَأْيِهِ دَاخِلَ الصَفِّ ، حَتَّى لَوْ أَثْبَتَتِ التَّجْرِبَة أَنَّ رَأْيَهُ الَّذِي لمَ يُؤْخَذْ بِهِ كاَنَ الأَصْوَبُ ، فَلَأَنْ يَجْتَمِعَ الصَفُّ عَلَى الصَّوَابِ خَيْرٌ مِنْ أَنْ يَفْتَرِقَ حَوْلَ الأَصْوَب. فَفِيْ الاِجْتِمَاعِ عَلَى الصَّوَابِ يُمْكِنُ أَنْ نَصِلَ إِلَى الأَصْوَب، أَمَّا لَوْ حَدَثَ الِافْتِرَاقُ فَلَنْ يَكُونَ هُنَاكَ اجْتِمَاع عَلَى صَوَابٍ ، وَلَا عَلَى أَصْوَب.

 

Maksudnya: “Dan di bawah naungan syura (mesyuarat), setiap ahli mesyuarat  hendaklah mengutarakan pendapat mereka. Tatkala Jemaah telah sepakat memutuskan sesuatu keputusan, maka semua ahli mesyuarat wajib beriltizam dengan keputusan tersebut demi menjaga kesatuan dan hala tuju jemaah. Bagi mereka yang mempunyai pendapat berbeza, tidak boleh lagi membicarakan pendapatnya itu di dalam saff jemaah sekalipun pengalaman membuktikan bahawa pendapatnya itu lebih tepat. Dengan berpegang kepada kesatuan saff melalui pendapat yang tepat (yang telah diputuskan)  lebih baik daripada berpecah- belah untuk mencari pendapat yang lebih tepat. Maka pada bersatu diatas keputusan tepat yang telah ditetap itu boleh menuju kepada sasaran yang lebih tepat. Sebaliknya, jika terjadi pertelagahan, maka tidak mungkin sama sekali dapat menghasilkan kesepakatan dalam perkara yang tepat, apatah lagi untuk mencapai keputusan yang lebih tepat. (Nazharat Fi Risalah Al-Taalim)

 

 

5.0 PENUTUP

Semoga usaha perjuangan menegakkan hukum Allah di muka bumi ini sentiasa disokong sepenuhnya oleh seluruh umat Islam. PAS sebagai parti Islam yang telah sekian lama berjihad dalam arus politik tanah air semakin mendapat tempat dihati umat Islam. Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang telah dilaksanakan oleh PAS kini adalah suatu uslub yang sangat berkesan khasnya dalam merungkai isu-isu yang melanda rakyat dengan pelbagai solusi yang sangat relevan. Mudah-mudahan Allah mengurniakan kemenangan besar dan kekuasaan bertapak di negara ini dibawah Dustur Al-Quran. Adalah diharapkan agar kertas kerja ringkas ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada penulis dan pembaca sekalian.

Al-Zulmu La Yadum, Wal Haqqu Yantashir! Allahu Akbar!

 

(Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat)

16 Rabiul Akhir 1439H/4 Januari 2018M