Home Berita PAS Pusat

Fathul Makkah: Penguasaan Islam Ke Atas Tanah Suci (20 Ramadhan 8)

12264
SHARE

RAMADHAN DAN PERJUANGAN

FATHUL MAKKAH: PENGUASAAN ISLAM KE ATAS TANAH SUCI (20 RAMADHAN 8)


MEKAH, tanah suci yang terletaknya Baitulllah adalah bumi dicinta oleh Rasulullah SAW. Di sinilah Baginda SAW dilahirkan dan diangkat menjadi Rasulullah. Setelah 13 tahun berdakwah, dan dakwahnya ditolak oleh orang Mekah, Nabi SAW telah berhijrah ke Madinah dalam tahun 622M, tetapi Baginda SAW tetap berdoa supaya Baitullah menjadi kiblat bagi umat Islam. Dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah pada 6H, Nabi SAW telah disekat daripada memasuki Mekah, maka berlaku gencatan senjata selama 10 tahun melalui perjanjian ini.

Perjanjian Hudaibiyah yang mengikat umat Islam dan sekutu untuk tidak berperang dengan kaum musyrikin Mekah dan sekutu mereka, ternyata akhirnya dicerobohi oleh Bani Bakr (sekutu Quraisy) yang menyerang Bani Khuzaah (sekutu Islam) yang merosakkan perjanjian ini. Bani Khuzaah yang banyak memeluk Islam telah diserang oleh Bani Bakr dengan dibantu oleh kaum Quraisy Mekah. Ini merupakan pengkhianatan terhadap Perjanjian Hudaibiyah. Usaha pemimpin Mekah, Abu Sufian pergi Madinah untuk memperkukuhkan semula perjanjian telah gagal, yang akhirnya membuka ruang untuk Islam menguasai Mekah.

Bergerak dari Madinah: Strategi Pembukaan Mekah

Nabi SAW telah menuntut kepada Abu Sufian supaya Quraisy membayar diyat di atas pembunuhan 20 orang Bani Khuzaah, Quraisy memutuskan hubungan dengan Bani Bakr dan Perjanjian Hudaibiyah terbatal. Kegagalan rundingan Abu Sufian lantaran pengkhianatan orang Quraisy dan Bani Bakr, telah menyebabkan Nabi SAW menyusun langkah menuju ke Mekah. Dengan 10,000 tentera, Baginda SAW bergerak dari Madinah tanggal 10 Ramadhan 8H dan mengambil masa lapan hari untuk tiba di sempadan Mekah. Kota Madinah ditinggalkan kepada Abu Ruhm al-Ghafiri sebagai imam menggantikan Nabi SAW.

Sebaik sahaja tiba di perbatasan Mekah di Dzu Tuwa, Nabi SAW menyusun pergerakan dengan membentuk empat pasukan yang bergerak dari arah berbeza untuk mengepung Mekah. Khalid al-Walid bergerak dari bahagian selatan Mekah melalui kota al-Lith, Zubir al-Awwam memimpin ketumbukkan di Bukit Kada’ dan memacak bendera Islam di al-Hajun, Abu Ubadah al-Jarrah pula bergerak bersama pasukannya ke tengah-tengah kota Mekah, sedang Saad bin Ubadah memimpin pasukan Islam yang masuk dari barat arah Jeddah. Dengan strategi yang tersusun ini, pada 20 Ramadhan 8H, tentera Islam telah berjaya mengepung dan memasuki kota Mekah tanpa sebarang pertempuran besar. Nabi SAW sendiri memasuki Mekah dari al-Hajun dengan diiringi oleh kaum Muhajirin dan Ansar, sebelum mereka bertawaf di Baitullah.

Penguasaan ke Atas Mekah: Berakhirnya Zaman Berhala

Ketika memasuki Mekah, Nabi SAW telah menyenaraikan 17 orang yang dikehendaki kerana sangat memusuhi Islam, dan mengarah supaya orang Mekah yang berlindung di Baitullah dan rumah Abu Sufian dibiarkan selamat. Bapa saudara Nabi SAW, al-Abbas juga mengisytiharkan ke-Islamannya menjelang Nabi SAW masuk ke kota ini. Turut berbuat demikian ialah pemimpin Mekah sendiri, Abu Sufian bin Harb yang memeluk Islam pada hari yang sama di hadapan al-Abbas. Mereka kemudiannya menyaksikan tentera Islam memasuki dan menguasai kota Mekah sepenuhnya menjelang 21 Ramadhan 8H. Ketika serangan dibuat oleh Ikrimah bin Abu Jahal dan Sofwan bin Umayyah ke atas pasukan Khalid al-Walid, 28 orang musyrikin berjaya dibunuh.

Setelah keadaan Mekah menjadi tenang dengan kejayaan Islam menguasainya dan peng-Islaman Abu Sufian, maka Rasulullah SAW mula bertindak untuk meruntuh ke semua 360 berhala di kawasan Baitullah dan juga menghancurkan behala Ibrahim dan Ismail yang berada dalam Kaabah. Baginda SAW memerintahkan supaya Khalid al-Walid meruntuhkan tiga berhala utama Manat, Latta dan Uzza pada 25 Ramadhan 8H. Hal ini sekali gus menjadikan ia penguasaan penuh Islam ke atas bumi Mekah dan menamatkan penyembahan berhala di tanah suci itu.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
20 Ramadhan 1439 / 5 Jun 2018