Home Fastaqim

Fastaqim ; Senjata Kekuatan Diri Untuk Berkuasa Di Muka Bumi

1920
SHARE

FASTAQIM; SENJATA KEKUATAN DIRI UNTUK BERKUASA DI MUKA BUMI

Oleh : Mohd Asri Mat Daud

? Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sejak awal penubuhannya dibangunkan diatas dasar menegakkan hukum dan tuntutan Allah. PAS telah berusaha untuk menjadikan Syariat Islam sebagai pegangan umat Islam di Malaysia. Dalam memperteguhkan Syariat Islam ini, PAS telah mengangkat Al-Quran, Al-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas sebagai sumber rujukan dan sehingga kini PAS tidak pernah berganjak dalam memperjuangkannya.
PAS sehingga kini telah menepati ciri-ciri yang ada pada Jama’ah Muslimin dan bertegas dengan dasar Islamnya serta bermatlamat hanya untuk memperolehi keredhaan Allah, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan PAS Fasal 5; Tujuan PAS ialah; “Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.”

? Jika diamati dan difahami apa yang terkandung dalam fasal 5 tersebut, bagi mencapai matlamat tertegaknya hukum Islam di seluruh negeri dan negara tentunya melalui kuasa pemerintahan. Realiti di negara kita, kuasa pemerintahan ditegakkan melalui sistem demokrasi secara pilihanraya. Oleh itu, PAS memilih saluran ini demi untuk membuat perubahan di Malaysia dengan memertabatkan tuntutan Allah. PAS juga berkehendak kepada kuasa, namun dalam ruang-lingkup yang diredhai Allah. Tiada guna kuasa tanpa kita meraih keredhaan Allah!

? Sesungguhnya PAS telah melalui pengalaman yang sangat lama dalam kancah politik dan telah mendepani pelbagai mehnah serta tribulasi tersendiri. Sehingga hari ini, PAS tidak pernah sunyi daripada ujian termasuklah ujian perpecahan yang dilakukan oleh bekas anggota PAS sendiri. Sehingga daripada kalangan mereka sanggup mendakwa perjuangan PAS sudah terpesong daripada dasar perjuangan Islam. Ini adalah tuduhan yang sangat tidak bertanggungjawab dan mempunyai agenda jahat terhadap PAS. Masyarakat menjadi keliru dengan perjuangan PAS disebabkan serangan saraf daripada pihak musuh politik dan ‘musuh dalam selimut’. Oleh yang demikian, PAS telah berkali-kali menjadikan Istiqamah sebagai tema bagi dihadamkan di seluruh peringkat, bermula pimpinan sehingga ke akar umbi. Beberapa program telah disusun termasuk taklimat, ceramah penerangan, Himpunan Fastaqim 1.0 di Kelantan dan terkini Himpunan Fastaqim 2.0 bermula hari ini bagi mengutuhkan jati diri anggota PAS.

? Jika kita menyoroti perjuangan sahabat PAS di Mesir iaitu Ikhwan Muslimin, setelah 79 tahun daripada tempoh Ikhwan Muslimin ditubuhkan iaitu pada 1928, pada tahun 2007 baharulah Ikhwan berjaya memenangi 88 kerusi Parlimen. Sementara pada tahun 2012, bermula era kejatuhan rejim Husni Mubarak dan pemerintahan di ambil alih oleh Dr Muhammad Mursi. Perjuangan PAS kita masih tidak sampai 77 tahun sebagaimana Ikhwan Muslimin, dalam pada itu Allah telah anugerahkan banyak kemenangan kepada kita. Baki lagi kita berusaha daripada sekarang untuk mengekalkan kemenangan di Negeri Kelantan dan mencapai kemenangan di negeri-negeri lain pada pilihan raya umum ke-14 nanti*. Apa yang penting, agenda Fastaqim wajib meresapi ke seluruh diri anggota parti dan dipasakkan dengan utuh, insya-Allah kekuasaan di tanah air kita akan dikurniakan oleh Allah. Firman Allah SWT:

وَنُرِيدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا فِي الْأَرْضِ وَنَجْعَلَهُمْ أَئِمَّةً وَنَجْعَلَهُمُ الْوَارِثِينَ

Maksudnya: Dan Kami ingin memberikan pertolongan kepada golongan yang ditindas diatas muka bumi. Dan Kami ingin jadikan mereka sebagai pemimpin, serta pewaris kekuasaan dibumi. (Al-Qashas: 5)

? Dalam ayat tersebut, Allah menjanjikan kepada golongan Mustadh’afin iaitu golongan yang ditindas, dinafikan hak serta sentiasa ditentang dengan pelbagai serangan saraf dan fitnah akan berkuasa di muka bumi. Ayat ini membuktikan kepada kita bahawa *kezaliman ada ajalnya dan kebenaran akan menyinsing fajarnya*. Maka, sejarah ini perlu diteliti kembali, agar unsur-unsur kelemahan yang ada dalam perjuangan kita tidak berulang. Oleh itu, bermula sekarang kita bina kesepaduan kita dan bina kekuatan Islam dalam diri kita khususnya bagi menghadapi PRU-14 nanti, nescaya Allah membina bagi kita Negara Islam di bumi Malaysia suatu masa kelak.

? Persiaplah diri setiap kita untuk menghadapi jentera musuh politik semaksima mungkin dengan pelbagai persediaan yang kita ada. Dengan persediaan zahir dan batin, iaitu persediaan material dan ketinggian iman kita, insya-Allah, anugerah kekuasaan dan pemerintahan di izinkan jua. Renungilah Firman Allah SWT:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya: Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka, khalifah-khalifah yang berkuasa. Dan Dia akan memberi kekuasaan serta mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka. Dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (daripada ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka. ( Al-Nur : 55 )

? Ayat ini diturunkan bagi memberi perkhabaran gembira kepada umat islam bahawa mereka akan dikurniakan semula ‘khilafah’ yang telah dijatuhkan oleh musuh Islam. Khilafah dalam skala kecil ialah pemerintahan yang boleh dilaksanakan padanya agenda-agenda tuntutan Islam. Janji Allah ini pasti berlaku, cuma memerlukan kepada pra-syaratnya sahaja iaitu mestilah umat islam beriman dan beramal dengan amalan soleh.

? Sewajibnya para pejuang PAS yang mendaulatkan agama Allah mesti memenuhi pra-syarat tersebut baharulah Allah mengurniakan ‘Tamkin’ atau kekuasaan kepada mereka secara berterusan. Allah sahaja yang berkuasa menganugerahkan kerajaan serta meranapkannya. Apabila iman dan amal soleh mengatasi tindak-tanduk umat islam, maka pada ketika itu Allah akan kurniakan ‘Nashrun’ atau kemenangan kepada perjuangan Islam. Fastaqim Kama Umirta!

“ SEJAHTERA BERSAMA ISLAM”

“MEMBINA NEGARA SEJAHTERA”

(Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat dan Setiausaha Akhbar kepada YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan)

09 Muharram 1439H │29 September 2017M