AHLI Lembaga Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor dan beberapa orang Komandan Amal Negeri hari ini menerima jemputan khas daripada Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib ke persidangan Dewan Negeri Selangor.
Delegasi Amal itu yang diketuai oleh Pengarah Amal negeri, Shehdi Hazrik disambut dan diraikan oleh semua Adun PAS Negeri Selangor.
“Ini merupakan satu pengalaman baru buat anggota Amal dalam melihat sendiri bagaimana pentadbiran negeri dikendalikan melalui Dewan yang mulia ini,” ujarnya.
Kehadiran mereka diumumkan oleh Timbalan Speaker DNS, Ustaz Shafie Ngah sebelum sesi ditangguhkan pada tengah hari dan menerima tepukan dari seluruh anggota dewan.
“Pengiktirafan ini menjadikan segala pengorbanan yang dilakukan oleh para sukarelawan kami selama ini dilihat mendapat perhatian yang sangat baik dan memberikan ingatan yang sangat bermakna,” ujar Shehdi Hazrik. – HARAKAHDAILY 14/11/2017