Home Artikel PAS Perak

Erti hidup pada memberi

658
SHARE

 

Alhamdulillah Jawatankuasa Muslimat Cawangan bersama muslimat cawangan PAS Kawasan Tambun memanfaatkan peluang melipatgandakan amal dalam bulan Ramadan ini dengan menyampaikan sumbangan Iftar Ramadan sepanjang bulan Ramadan ini.

Sumbangan yang diperoleh daripada infak orang ramai, dana perseorangan dan infak dari ahli PAS itu sendiri telah menjadi asbab kelangsungan semua program yang disusun berjalan dengan lancar dan sangat baik.

Antara yang terpilih menerima sumbangan disampaikan muslimat PAS adalah golongan MOSWAY terdiri daripada asnaf, orang kelainan upaya (OKU), pesakit kronik, warga emas dan armalah. Usaha ini digiatkan muslimat PAS Tambun bagi meringankan beban dialami mereka terutamanya pada genting negara menghadapi wabak COVID-19 ini.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Berikut merupakan perumpamaan yang amat tepat apabila setiap wakil cawangan berkongsi mengenai pengalaman masing-masing usai menggerakkan usaha murni dan gerak kerja amal ini.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al Baqarah : 261,

“Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”

Antara pimpinan yang turut turun menyantuni dan menyampaikan sumbangan ialah Yang DiPertua Pas Kawasan Tambun, Ustaz Salleh bin Mat Said, Ketua Zon Tambun En Eddy Nor dan Ketua Muslimat Pn Yusmaliza binti Yusof.

Oleh hal sedemikian, marilah sama-sama kita seluruh muslimin muslimat, berganding bahu membantu dan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban saudara mara dan jiran tetangga kita. Sedarilah tanggungjawab inilah yang seharusnya dimainkan oleh semua umat Islam seperti mana dianjurkan Islam melalui sikap bertolong menolong dalam melakukan amal kebajikan.

“Islam Memimpin, Wanita Sejahtera”

Ikhlas daripada
Saff kepimpinan Dewan Muslimat PAS Kawasan Tambun.