Home Berita PAS Terengganu

EPIC Marine bangunkan GSRF di Pelabuhan Kemaman

41
SHARE

KUALA TERENGGANU – Eastern Pacific Marine Services Sdn Bhd (EPIC Marine) membangunkan Fasiliti Pengitaran Semula Kapal dan Pelantar Hijau atau Green Ship Recycling Facility (GSRF) yang juga merangkap sebagai Kemudahan Pemulihan Penyahtauliahan (DRF) di Pelabuhan Kemaman.

Kemudahan canggih oleh anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) itu merupakan yang pertama di Malaysia dan dibina atas tapak seluas 13 ekar di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB).

Ia dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada penghujung tahun 2026 dan dijangka menjadi asas untuk kelestarian kitar semula dan penyahtauliahan kapal di rantau ini.

EPIC Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan, GSRF akan mematuhi piawaian alam sekitar dan keselamatan antarabangsa yang tertinggi termasuk keperluan ketat yang digariskan dalam Hong Kong International Convention for the Safe and Environmentally Sound Recycling of Ships (Hong Kong Convention).

“Konvensyen yang akan berkuat kuasa pada 26 Jun 2025 itu akan memastikan bahawa kapal pada penghujung hayat operasinya akan dikitar semula bagi meminimumkan risiko kepada manusia kesihatan dan alam sekitar.

“Selain lokasinya yang strategik dan pematuhan terhadap kesihatan, keselamatan dan garis panduan alam sekitar (HSE),” ujar kenyataan tersebut, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Ts. Haji Muhtar Suhaili dalam kenyataan tersebut memaklumkan, kemudahan itu bersedia untuk merevolusikan pelupusan kapal-kapal akhir hayat dan platform melalui potensi dan kecekapannya yang luar biasa.

“GSRF dijangka memproses antara 30,000 hingga 50,000 tan metrik daripada bahan setiap tahun, menjadikannya salah satu kemudahan kitar semula kapal yang paling cekap dan selamat di rantau ini.

“Inisiatif ini juga dioptimumkan untuk pengurangan pelepasan CO2 dan kitar semula komponen bukan logam yang mampan,” ujarnya.

Katanya, GSRF juga akan berfungsi sebagai Kawasan Pelupusan Pesisir atau Kemudahan Pemulihan Penyahtauliahan bagi platform luar pesisir yang dijadualkan untuk penyahtauliahan.

“Kemudahan ini lebih daripada sekadar kawasan kitar semula kapal, ia mewakili penanda aras baharu dalam operasi maritim yang mampan.

“Kami percaya bahawa GSRF bukan sahaja akan mempelbagaikan lagi tawaran kami dan menyokong tranformasi Pelabuhan Kemaman menjadi pelabuhan hijau, tetapi juga memainkan peranan penting dalam memajukan industri maritim tempatan ke arah yang lebih mampan masa depan,” ujarnya.