Home Ensiklopedia Harian PAS

Ensiklopedia Harian PAS- Syura, Amalan Konsultasi Dalam PAS

346 views
SHARE

KELANCARAN sesebuah organisasi yang demokrtik adalah sangat bergantung kepada budaya berunding dan bermesyuarat. Dalam sistem organisasi Islam, amalan ini dikenali sebagai “syura” yang memberi makna mesyuarat atau permesyuaratan. Setiap perkara dalam organisasi Islam perlu diputuskan melalui mesyuarat atau perundingan, walaupun dalam keadaan tertentu pemimpin tertinggi mempunyai kuasa pemutus. Dalam PAS sendiri, amalan syura atau konsultasi ini telah diamalkan semenjak PAS ditubuhkan lagi, bahkan sentiasa diperkasakan dari masa ke masa, sehingga tertubuhnya Majlis Syura Ulamak PAS pada 1987 yang bertujuan mengawal amalan organisasi PAS supaya tidak melanggar batasan hukum syarak.

Perkataan “syura” yang bermaksud mesyuarat atau perundingan ini diperintahkan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud, “Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka” (as-Syura: 43). Secara teknikal, perkataan syura memberi maksud satu proses komunikasi yang melibatkan perbincangan, percambahan fikiran, perundingan, pertukaran maklumat, pengumpulan fakta dan perkongsian idea dari pelbagai sudut, sebelum sesuatu keputusan atau ketetapan dibuat. Dalam ayat lain, Allah SWT menyebutkan yang bermaksud, “Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam setiap urusan. Maka apabila engkau telah berazam (dengan suatu keputusan) maka bertawakallah kepada Allah, kerana Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal” (Ali Imran: 159). Dalam hadis riwayat at-Tabarani, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Tidak akan kecewa orang yang beristikharah dan yang bermesyuarat.”

Oleh kerana konsep syura ini menjadi amalan sunnah dan ia amat penting dalam gerakan Islam, PAS telah mewujudkan beberapa bentuk syura di semua peringkat organisasinya. Pertama, syura melalui mesyuarat agung, di mana semua ahli PAS terlibat bermula dari peringkat terbawah di cawangan hinggalah Muktamar Tahunan PAS. Mesyuarat Agung Tahunan PAS diakui sebagai syura tertinggi dalam PAS. Kedua, mesyuarat jawatankuasa kerja yang bertujuan melaksanakan dasar-dasar PAS. Ia melibatkan kepemimpinan parti di setiap peringkat yang berkaitan, termasuk juga jawatankuasa kecil atau panitia pelaksana. Ketiga, Majlis Syura Ulamak PAS iaitu badan khusus yang ditubuhkan sebagai badan tertinggi yang mengawal dasar, menafsir Perlembagaan PAS dan mendengar rayuan taratertib, dengan dianggotai oleh para ulamak untuk memastikan seluruh perjalanan PAS tidak bercanggah dengan sumber hukum PAS.

Berbandingan dengan Majlis Syura Ulamak PAS yang wujud secara bersendirian sebagai institusi tertinggi dalam PAS, adapun syura yang berlaku dalam Mesyuarat Agung PAS dan Jawatankuasa Kerja PAS adalah bertingkat. Mesyuarat Agung PAS wujud dalam dua keadaan iaitu tahunan dan khas, sedangkan tingkatnya bermula di Cawangan ke Kawasan dan Pusat. Adapun bagi Dewan-dewan, tingkatnya bermula di Kawasan ke Negeri dan Pusat. Bagi Jawatankuasa Kerja PAS, syura berlaku di peringkat Cawangan, Kawasan, Negeri dan Pusat dalam mengendalikan organisasi di peringkat masing-masing. Walaupun Jawatankuasa Kerja PAS adalah eksekutif bagi setiap tingkat organisasi PAS, namun Mesyuarat Agung PAS adalah kuasa tertinggi di peringkat masing-masing dengan Muktamar Tahunan PAS adalah kekuasaan tertinggi dalam sistem syura PAS. Syura Muktamar Tahunan PAS adalah bertindak sebagai kuasa legislatif PAS setiap tahun. Namun begitu, di sebalik kedudukan dua kuasa syura di peringkat eksekutif dan legislatif ini, Majlis Syura Ulamak PAS diberikan kuasa judikatif untuk memastikan seluruh keputusan, dasar dan aktiviti PAS tidak bercanggah dengan sumber hukum PAS.

Kekuasaan syura Muktamar dan Mesyuarat Agung PAS diperuntukkan dalam Fasal 7 dan 18 hingga 22 Perlembagaan PAS (Pindaan) 2011, manakala Mesyuarat Agung dan Muktamar bagi Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat  PAS disebut masing-masing pada Fasal 44, 48, 52, 56, 60, 64, 68 dan 72. Sedangkan kekuasaan syura Majlis Syura Ulamak PAS diperuntukkan dalam Fasal 7dan 8. Fasal 25 hingga 34 perlembagaan yang sama memperuntukkan tentang amalan syura di semua peringkat Jawatankuasa Kerja PAS. Adapun syura peringkat negeri disebut dalan Fasal 40, sedangkan bagi Dewan-dewan diperuntukkan dalam Fasal 45, 49, 53, 57, 61, 65, 69 dan 73 bagi setiap peringkat Dewan-dewan.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
20 Januari 2017