Home Ensiklopedia Harian PAS

Ensiklopedia Harian PAS: Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua Tetapkan Resolusi Untuk Tegakkan Negara Islam Dan Bendung Kristianisasi

371
SHARE

ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PAS KALI KEDUA TETAPKAN RESOLUSI UNTUK TEGAKKAN NEGARA ISLAM DAN BENDUNG KRISTIANISASI


MESYUARAT Agung Tahunan PAS Kali Kedua di Madrasah al-Ulum as-Syar’iyyah, Batu 20, Bagan Datuk, Perak pada 26-27 Ogos 1953 telah membincangkan dua isu kritikal yang dihadapi oleh umat Islam menjelang kemerdekaan. Dua isu tersebut ialah tentang tujuan PAS untuk menegakkan hukum-hukum Islam secara menyeluruh dalam negara ini dan menyusun langkah bagi membendung gejala Kristianisasi ke atas orang Melayu yang dilakukan melalui sekolah-sekolah muballigh Kristian. Dua resolusi penting ini adalah bertujuan untuk menjamin kekentalan aqidah Islam dapat dipertahankan dari ancaman musuh-musuh yang menggunakan jarum halus dalam merosakan aqidah umat Islam.

Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua ini telah dibuka oleh Menteri Besar Perak, Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz, sebelum Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan menyampaikan ucapan dasarnya. Menteri Besar Perak itu dalam ucapannya berharap PAS akan benar-benar berjuang untuk rakyat dan berjaya menegakkan syariat Islam di negara ini. Sedangkan Yang Dipertua Agung PAS itu pula menjelaskan usaha-usaha untuk menyatukan pentadbiran agama dan menuntut pilihan raya segera ke arah berkerajaan sendiri (self government) bagi memerdekakan Tanah Melayu. Mesyuarat Agung Tahunan PAS ini dihadiri oleh wakil 12 buah Cawangan PAS, lapan orang Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS dan sekitar 600 orang pemerhati.

Antara resolusi yang diputuskan oleh mesyuarat agung ini ialah persetujuan supaya PAS mengadakan mesyuarat agung khas untuk membincangkan sama ada PAS menyokong National Conference atau National Convention, selain resolusi untuk meminda Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) Januari 1953 berkait masalah organisasi, yuran, nama PAS dan tujuan perjuangan PAS untuk menegakkan Islam dalam kehidupan individu dan negara. PAS turut membentuk jawatankuasa khas berkait cadangan-cadangan bagi Pilihan Raya Persekutuan dan bersetuju menganjurkan Muktamar Islam Se-Malaya. Resolusi-resolusi lain adalah kebanyakkannya berkait dengan perlaksanaan hukum Islam dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk menamakan negeri-negeri Melayu sebagai “Darul Islam.”

Bertolak dari usul untuk memperkemaskan tujuan PAS yang berbunyi, “Berikhtiar melaksanakan hukum-hukum dan ajaran-ajaran Islam dalam kehidupan seorang (individu) dan masyarakat menuju keredhaan Allah,” PAS kemudian memutuskan supaya hari cuti mingguan ditukar dari Ahad kepada Jumaat, mendesak perlaksanaan hukum jenayah Islam berkait judi, arak, pelacuran dan hiburan melampau, mengukuhkan aqidah melalui sistem pendidikan, memberikan kuasa kepada mahkamah syariah melaksanakan hukum Islam dan menamakan negeri-negeri Melayu sebagai Darul Islam. Inilah wawasan PAS yang telah digariskan sejak awal sejarahnya bagi mendukung cita-cita untuk menegakkan negara Islam.

Selain itu, PAS turut memberikan perhatian kepada ancaman Kritianisasi yang berlaku kepada anak-anak orang Islam di sekolah-sekolah Inggeris. Ancaman ini dianggap serius oleh PAS kerana pelajaran agama Kristian diajar kepada anak-anak Islam di semua sekolah mereka. Bermula dengan desakan cuti mingguan ditukar kepada hari Jumaat supaya pelajar tidak ke gereja, PAS turut menuntut supaya diwujudkan biasiswa sekolah agama untuk mengelakkan anak-anak Islam dihantar ke sekolah tajaan misionari Kristian. PAS juga menuntut supaya kerajaan mewujudkan pelajaran Agama Islam kepada anak-anak orang Islam di semua Sekolah Inggeris bagi peperiksaan School Certificate menggantikan pelajaran Religious Knowledge yang berasaskan agama Kristian. PAS turut mendesak Raja-raja Melayu menjaga kehormatan agama sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing.

Selepas merumuskan semua resolusi ini, PAS memilih semula Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan sebagai Yang Dipertua Agung PAS bersama Dr Haji Abbas Alias (Timbalan Yang Dipertua Agung PAS), Cikgu Ahmad Awang (Setiausaha Agung PAS), Ustaz Mohd Asri Haji Muda (Setiausaha Kewangan PAS), Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin (Bendahari Agung PAS), Ustaz Haji Zabidi Ali, Ustaz Haji Ahmad Long, Tuan Guru Haji Mohd Noor Mahyuddin, Ustaz Haji Mansor Hassan JP, Ustaz Haji Ahmad Maliki, Mohamad Hanif, Ustaz Haji Ahmad Badawi Abdullah dan Haji Othman Taat (Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS). Jawatan Naib-naib Yang Dipertua Agung PAS dijadikan jawatan khas untuk Ketua-ketua Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS, di mana ketika ini hanya Dewan Pemuda PAS sahaja yang wujud dengan diketuai oleh Ustaz Othman Abdullah.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
14 Mei 2017

 

{jathumbnail off}