Home Ensiklopedia Harian PAS

Ensiklopedia Harian PAS – Madrasah Al-Ulum As-Syar’iyyah, Bagan Datuk: Pusat Kebangkitan PAS Perak

825
SHARE

ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS

MADRASAH AL-ULUM AS-SYAR’IYYAH, BAGAN DATUK: PUSAT KEBANGKITAN PAS PERAK


PERANAN madrasah sebagai pusat kebangkitan ummah adalah satu fakta yang tidak dapat ditolak, terutama dalam konteks sejarah gerakan Islam di Malaysia. Seperti mana peranan Maahad al-Ihya as-Syariff, Gunung Semanggol yang terkenal sebagai pusat kebangkitan Islam, sekolah-sekolah agama yang lain di seluruh negeri Perak juga mempunyai peranan yang serupa, termasuklah Madrasah al-Ulum as-Syar’iyah, Batu 20, Bagan Datuk yang menjadi pusat gerakan PAS di Perak sepanjang 1950-an dan 1960-an. Madrasah ini bukan sahaja melahirkan tokoh-tokoh besar PAS, tetapi telah menyaksikan kelahiran sayap-sayap Pemuda, Muslimat dan Ulamak PAS, selain pernah menjadi tuan rumah Mesyuarat Agung Tahunan PAS.

Madrasah al-Ulum as-Syar’iyah telah ditubuhkan pada 21 Oktober 1937 oleh Jawatankuasa Penaja Madrasah setelah idea penubuhannya dikemukakan terlebih dahulu oleh Haji Ali Hussein. Mereka telah melantik seorang ulamak berketurunan Banjar, Tuan Guru Haji Mohamad Arsyad Mohamad Salleh sebagai mudir pengasasnya. Madrasah yang terletak di Batu 20, Bagan Datok, Perak ini telah diberikan nama “al-Ulum as-Syar’iyyah” oleh dua orang tokoh iaitu Tuan Guru Haji Mohamad Arsyad dan Sheikh Zubir Ahmad al-Filfulani, yang juga naib mudir pada saat penubuhannya. Sejak ia ditubuhkan pada 1937 hingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957, madrasah ini telah mencipta nama besar kerana peranannya dalam gerakan kebangkitan Islam yang memacu perjuangan kemerdekaan.

Pemimpin utama madrasah ini ialah Tuan Guru Haji Mohamad Arsyad Mohamad Salleh yang berasal dari Pulau Kei, Daerah Tual, Provinsi Maluku Tenggara dan telah berhijrah ke Tanah Melayu dari Banjarmasin pada 1918. Beliau kemudian berkahwin dengan seorang gadis Banjar, Saiyah Ujal di Kampung Parit Dayang, Bagan Datok. Pada 1928, mereka ke Mekah dan dikurniakan anak di sana pada 1929, iaitu Ustaz Haji Hassan Adli Mohd Arshad yang kemudiannya menjadi Timbalan Yang Dipertua Agung PAS (1971-1977), selain menjadi Menteri Persekutuan (1976-1978) dan Duta Besar Malaysia ke Mesir (1978-1983).

Seorang lagi tokoh besar madrasah ini, Sheikh Zubir Ahmad al-Filfulani adalah ulamak kelahiran Pulau Pinang pada 1905. Beliau mendapat pendidikan di Madrasah al-Mashoor al-Islamiyah di Pulau Pinang (1920-1924) dan Madrasah Shaulatiyah al-Hindiyah, Mekah (1925-1930) dan pernah menjadi Mudir Madrasah Darul Ulum, Mekah (1935-1940). Pada 1940, beliau pulang ke Tanah Melayu dan dilantik sebagai Naib Mudir Madrasah al-Ulum as-Syar’iyyah (1940-1946), sebelum dilantik sebagai Mudir Madrasah al-Akhlak al-Islamiyah, Masjid Tinggi (1946-1948) dan Mudir Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar (1948-1977). Beliau aktif dalam Hizbul Muslimin dan PAS. Pada 1959, beliau bertanding dalam pilihan raya mewakili PAS di Parlimen Bagan Datok, tetapi tewas.

Tokoh terbesar PAS yang lahir di madrasah ini ialah Datuk Haji Hassan Adli yang merupakan mudir selepas era ayahnya. Ustaz Hassan Adli yang mendapat pendidikan di madrasah ini dan juga Madrasah al-Akhlak al-Islamiyah, Masjid Tinggi pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS (1956-1958), Pengerusi Tetap PAS (1959), Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1959-1965), Naib Yang Dipertua Agung PAS (1965-1971) dan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS (1971-1977). Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu Utara (1959-1964) dan Bagan Datok (1974-1982), selain turut menjadi Timbalan Menteri dan Menteri di peringkat Persekutuan.

Di samping melahirkan tokoh-tokoh besar PAS, Madrasah al-Ulum as-Syar’iyyah juga berperanan besar dalam menggerakan pemuda dan pelajar Islam. Melalui peranan Dewan Penuntut al-Ulum yang dipimpin oleh Ustaz Saim Yunus, telah tertubuh di madrasah ini Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP) yang pada awalnya dipimpin oleh Ustaz Hassan Shukri dan Ustaz Jaiz Anwar. Daripada KPIP muncul pula pada 1954 Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS) yang dipimpin oleh Ustaz Jamaluddin Amini Marzuki dari Kedah. Hari ini, gerakan KPAS telah diganti oleh PKPIM sejak 1961. Selain itu juga, pada 1958, telah berdiri di madrasah ini juga Persatuan Guru-guru Madrasah Rakyat Perak (PGMR) yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh, Mudir Madrasah Yahyawiyah, Padang Rengas. PGMR adalah tenaga utama yang mendesak supaya sekolah-sekolah agama rakyat diberikan geran perkapita.

Dalam konteks PAS sendiri, madrasah ini telah menjadi tuan rumah Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua pada 26-27 Ogos 1953, di mana PAS telah mengekalkan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan sebagai Yang Dipertua Agungnya. Sebelum itu, pada 25 Ogos 1953, satu Kongres Pemuda Islam Se-Malaya diadakan di madrasah ini sehingga berjaya menubuhkan Dewan Pemuda PAS. Selain turut menjadi tuan rumah Kongres Dewan Pemuda PAS Kedua pada 23 Disember 1956 dan Ketiga pada 13-14 Disember 1957, madrasah ini pada 13 Disember 1957 menjadi saksi kepada penubuhan Dewan Muslimat PAS dan juga Dewan Ulamak PAS.

Sepanjang tempoh antara 1951 hingga akhir 1960-an, ternyata Madrasal al-Ulum as-Syar’iyah telah menjadi pusat gerakan Islam yang penting di Perak. Selain tokoh-tokoh yang tersenarai, turut terlibat dengan madrasah ini ialah Tuan Guru Haji Ghazali Arshad Batu 26 dan Ustaz Haji Ghazali Abdullah (bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS). Oleh kerana ia turut menjadi markas gerakan PAS Hilir Perak, tokoh-tokoh PAS seperti Ustaz Othman Abdullah (bekas Naib Yang Dipertua Agung PAS), Haji Hashim Abdullah al-Baghdadi (bekas Setiausaha Agung PAS) dan Datin Sakinah Junid (bekas Ketua Dewan Muslimat PAS) juga turut bergiat di sini. Alumni terkenal madrasah ini ialah Datuk Haji Hassan Adli dan Ustaz Jaiz Anwar yang kedua-duanya pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
10 Mei 2017

{jathumbnail off}