Home Ensiklopedia Harian PAS

Ensiklopedia Harian PAS – Maahad Al-Ehya As-Syariff Gunung Semanggol: Pusat Kebangkitan Gerakan Islam

2,697 views
SHARE

ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS

MAAHAD AL-EHYA AS-SYARIFF GUNUNG SEMANGGOL: PUSAT KEBANGKITAN GERAKAN ISLAM


KEBANGKITAN gerakan politik Islam telah berlaku di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua dengan berpusat di Gunung Semanggol, Perak. Sejak kejatuhan Khilafah Othmaniyah pada 4 Mac 1924, kuasa politik Islam telah berakhir, lantas mendorong munculnya gerakan-gerakan politik Islam di seluruh dunia dalam rangka mengembalikan kedaulatan kerajaan Islam. Bermula dengan kebangkitan Sarekat Islam di Indonesia pada 1905, diikuti oleh Ikhwanul Muslimin di Mesir pada 1928, Jamiat Islami di India pada 1941 dan Masyumi di Indonesia pada 1943, maka muncullah pelbagai gerakan Islam di seluruh dunia, khususnya selepas Perang Dunia Kedua. Di Tanah Melayu sendiri, sejak awal 1920-an telah wujud cawangan Sarekat Islam, sebelum munculnya gagasan penyatuan para ulamak di peringkat nasional pada awal 1930-an. Selepas Perang Dunia Kedua, barulah muncul gerakan politik Islam di Tanah Melayu.

Permulaan bagi kebangkitan ini ialah dengan berlangsungnya Persidangan Ekonomi-Agama di Maahad al-Ehya as-Syariff, Gunung Semanggol pada 23-24 Mac 1947 yang berjaya menubuhkan Pusat Perekonomian Melayu Se-Malaya (PEPERMAS) dan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA). Dari MATA pula lahirnya Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR), sebelum Persidangan MATA pada 14 Mac 1948 berjaya menubuhkan Hizbul Muslimin sebagai parti politik Islam yang pertama di Tanah Melayu. Di sinilah peranan penting Maahad al-Ehya as-Syariff dalam sejarah kebangkitan Islam, kerana setelah itu, kebangkitan PAS juga bersangkutan dengan peranan maahad ini.

Sejarah Maahad al-Ehya as-Syariff telah bermula sejak 1918 apabila Tuan Guru Haji Abdul Rahman Mahmud mengasaskan Madrasah ar-Rahmaniyah di Gunung Semanggol. Pada 15 April 1934, menantu beliau, Ustaz Abu Bakar al-Baqir telah membubarkan madrasah ini untuk menubuhkan Madrasah al-Ehya as-Syariff, sebelum dinaikkan taraf sebagai Maahad al-Ehya as-Syariff pada 1940, serentak dengan penubuhan Persatuan al-Ehya as-Syariff. Pada zaman Jepun, maahad ini dapat bergerak seperti biasa kerana ia dilindungi Penasihat Adat Istiadat Melayu di Markaz Tentera Jepun di Taiping, Dr Burhanuddin al-Helmy. Selepas Perang Dunia Kedua, maahad ini telah terlibat dengan kegiatan politik sehingga mudirnya, Ustaz Abu Bakar al-Baqir ditahan di bawah Ordinan Darurat 1948 selama empat tahun sehingga 1952.

Ustaz Abu Bakar Mohd Said al-Baqir, pengasas dan mudir maahad ini dilahirkan pada 1907 dan mendapat pendidikan di Madrasah ar-Rahmaniyah (1919-1923), Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyyah, Kepala Batas (1924-1930) dan Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar (1930-1934) dengan guru utama beliau ialah Sheikh Abdullah Fahim. Beliau adalah seorang tokoh agama yang aktif dalam pergerakan politik dan pernah terlibat dalam Persatuan Melayu Pulau Pinang, Persatuan Melayu Perak, Sunlight Club Taiping, Kelab Saadat Kuala Kangsar, Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Barisan Tani Se-Malaya (BATAS) dan Pembantu Indonesia Merdeka (PIM). Selepas 1947, beliau telah memimpin PEPERMAS, sebelum menjadi pemimpin Hizbul Muslimin mulai 1948. Beliau ditahan tanpa bicara selama empat tahun sehingga 1952, dan menyertai PAS pada 1954. Walaupun pada 1955, beliau menjadi calon Parti Kebangsaan Perak (NAP), namun selepas itu beliau tidak lagi aktif berpolitik, sebaliknya memberi tumpuan sebagai Mudir Maahad al-Ehya as-Syariff dan Ahli Majlis Agama Islam Perak sehingga akhir hayatnya pada 14 Julai 1974.

Selain menjadi pusat gerakan politik Islam pada akhir 1940-an dengan kemunculan PEPERMAS, MATA, LEPIR dan Hizbul Muslimin, Maahad al-Ehya as-Syariff juga tidak dapat dipisahkan dengan kebangkitan PAS. Pertama, dalam Persidangan Persatuan Ulamak Se-Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth) pada 24 November 1951, dua institusi telah hadir mewakili maahad ini iaitu Persatuan al-Ehya as-Syariff dan Maahad al-Ehya as-Syariff sendiri. Dalam persidangan ini, wakil Persatuan al-Ehya as-Syariff, Ustaz Othman Hamzah telah mencadangkan supaya nama Persatuan Ulamak Se-Malaya ditukar kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS), selain turut mempengaruhi perubahan tujuan penubuhannya dari persatuan yang bersifat kebajikan kepada sebuah parti politik Islam. Wakil-wakil dari Gunung Semanggol juga telah mendesak supaya disiplin parti dikuatkuasakan dalam PAS supaya wala’ ahli-ahli hanya kepada pergerakan politik Islam yang baru ditubuhkan ini.

Kedua, barisan kepemimpinan utama yang mengasaskan PAS adalah tokoh-tokoh yang berkait secara langsung dengan maahad ini. Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (Yang Dipertua Agung PAS), Ustaz Haji Ahmad Maliki (Setiausaha Agung PAS) dan Haji Sulaiman Ahmad (Sulaiman Palestin) (Pegawai Penerangan PAS) adalah bekas-bekas pelajar Maahad al-Ehya as-Syariff, sedangkan Sheikh Abdullah Fahim (Ketua Dewan Ulamak PAS), Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin (Naib Yang Dipertua Agung PAS) dan Mohd Asri Haji Muda (Setiausaha Kerja PAS) adalah antara bekas pemimpin Hizbul Muslimin yang berpusat di Gunung Semanggol. Ketiga, selepas disiplin parti dikuatkuasakan sepenuhnya oleh PAS pada 1955, lebih ramai tokoh-tokoh Maahad al-Ehya as-Syariff menyertai kepemimpinan PAS seperti Ustaz Baharuddin Latif (bekas Setiausaha Agung PAS), Ustaz Othman Hamzah (bekas Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat), Ustazah Hayati Hassan (bekas Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat), Ustaz Budiman Radhi (bekas Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat) dan lain-lain. Pada generasi kontemporari, dua tokoh PAS, Ustazah Naqibah Nu’ma Abu Bakar (Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah dan Perak) dan Ustaz Jilbaz Mukhlis Mokhtar Ghazali (bekas Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Perak) adalah anak dan cucu Ustaz Abu Bakar al-Baqir.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
16 Januari 2017

{jathumbnail off}