Home Ensiklopedia Harian PAS

Ensiklopedia Harian PAS – Gerakan Pemuda Islam Indonesia (GPII): Rakan Antarabangsa Pertama Pemuda PAS

698
SHARE

 
ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS

GERAKAN PEMUDA ISLAM INDONESIA (GPII): RAKAN ANTARABANGSA PERTAMA PEMUDA PAS


PERGERAKAN politik Islam adalah sebuah gerakan global, tetapi terpisah oleh sempadan-sempadan politik selepas era penjajahan. Di antara gerakan yang wujud di seluruh dunia adalah saling mempunyai hubungan dan saling mempengaruhi. Di dalam sejarah kemunculan PAS sendiri, tidak dapat dinafikan adanya pengaruh Ikhwanul Muslimin dari Mesir, Jamiat Islam dari benua India dan Masyumi dari Indonesia. Setelah ditubuhkan, PAS membentuk pula jaringan hubungan dengan gerakan-gerakan Islam dalam rangka persaudaraan aqidah yang melangkaui sempadan politik.

Salah satu gerakan politik Islam luar negara terawal yang mempunyai hubungan rasmi dengan PAS ialah Gerakan Pemuda Islam Indonesia (GPII). GPII merupakan sayap pemuda Masyumi yang ditubuhkan pada 1945 dengan diketuai oleh Harsono Tjokroaminoto, putera kepada pemimpin Sarekat Islam yang sangat terkenal, Haji Omar Said Tjokroaminoto. Oleh kerana penubuhan Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948 mempunyai pengaruh Masyumi yang kuat, pergerakan politik PAS juga turut berkait rapat dengan Masyumi. Keadaan ini didorong juga oleh kebanjiran pemuda-pemuda Malaya yang melanjutkan pengajian tinggi agama mereka di Indonesia seperti Ustaz Othman Abdullah, Ustaz Budiman Radhi, Ustaz Salahuddin Abdullah dan lain-lain.

Sejarah GPII bermula apabila Persatuan Pelajar Sekolah Tinggi Islam (PP-STI) ditubuhkan pada 15 Ogos 1945 dalam rangka perjuangan kemerdekaan Indonesia. Dengan pengaruh beberapa tokoh politik Islam seperti Pak Mohamad Natsir, Buya Hamka, Prof Abdul Kahar Muzakkar dan Kiyai Abdul Wahid Hashim, pada 2 Oktober 1945 telah didirikan GPII yang dipimpin oleh Harsono Tjokroaminoto. Kelompok terbesar di kalangan pemuda Islam yang bergabung dalam GPII ialah Laskar Hizbullah, iaitu satu sayap ketenteraan Islam Masyumi yang kemudiannya dikenali sebagai GPII Hizbullah.

Pada 7 November 1945, GPII telah mengusulkan dalam Kongres Umat Islam Indonesia di Jogjakarta supaya Masyumi bertukar menjadi parti politik Islam yang dikenali sebagai Partai Masyumi yang menggabungkan semua pertubuhan Islam di Indonesia. Selain itu, GPII pada 1947 turut menubuhkan Himpunan Mahasiswa Islam (HMI) pimpinan Lafran Pane dan Pelajar Islam Indonesia (PII) pimpinan Anton Timur Jailani sebagai sayap-sayap perkaderan mereka. Pergerakan bersepadu GPII telah berjaya memberikan kemenangan kepada Partai Masyumi dalam Pemilihan Umum (Pemilu) Indonesia 1955. Namun begitu, disebabkan Peristiwa Cikini dan Idhul Adha, GPII telah didakwa terlibat dengan tindakan keganasan dan Presiden Sukarno telah mengharamkan GPII pada 10 Julai 1963. Sejak itu mereka menyerap ke dalam Pemuda Persatuan Umat Islam (PPUI), iaitu sayap pemuda Persatuan Umat Islam (PUI), yang mula dikenali sebagai Gerakan Pemuda Islam (GPI) mulai 1967. Selepas reformasi politik 1998, pada 8 Oktober 1999, organisasi GPII didirikan semula.

Dalam pada itu, penubuhan PAS pada 23 Ogos 1951 telah membawa kepada tertubuhnya Dewan Pemuda PAS pada 25 Ogos 1953 dengan diketuai oleh Ustaz Othman Abdullah dari Hilir Perak. Ustaz Othman Abdullah adalah lulusan bidang syariah dari Universitas Muhammadiyah Padang dan merupakan pegawai berpangkat kapten dalam Laskar Hizbullah. Keadaan ini membentuk hubungan antara Dewan Pemuda PAS dengan GPII, di mana sayap pelajar Dewan Pemuda PAS, Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS) yang dipimpin oleh Ustaz Jamaluddin Amini Marzuki telah mengadakan lawatan silaturrahim ke Indonesia untuk membuat hubungan dengan GPII, HMI dan Ikatan Pemuda Nahdatul Ulamak, selain membuat kunjungan hormat ke atas Pak Mohamad Natsir, Kiyai Ahmad Dahlan, Dr Burhanuddin Harahap dan Buya Hamka.

Lawatan silaturrahim selama sebulan antara 20 Ogos hingga 23 September 1956 ini kemudiannya menerima kunjungan balas dari GPII yang menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PAS Keenam pada 23-26 Disember 1956 dan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat Kedua pada 23 Disember 1956. Dua pemimpin GPII yang hadir mewakili Pak Mohamad Natsir ialah Anuar Akraman dan Abdul Majid Haryadi. Dengan berlakunya kunjungan balas ini, telah terjalin hubungan di antara Dewan Pemuda PAS dengan GPII sehinggalah sayap pemuda Masyumi itu diharamkan oleh Presiden Sukarno pada tahun 1963.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
10 Januari 2017

{jathumbnail off}