Home Berita PAS Perlis

Elakkan Mengungkit Sejarah Demi Jayakan Penyatuan Ummah

780
SHARE

Oleh: Nur ‘Iffah

KANGAR: Seluruh rakyat Malaysia diingatkan untuk lebih banyak pandang ke hadapan di dalam misi penyatuan ummah ini berbanding memandang perkara yang di belakang (sejarah lalu).

Demikian kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, ketika berucap dalam program Jelajah Ceramah Penyatuan Ummah di Dewan 2020 dekat sini malam tadi.

Menurutnya, perbuatan mengungkit sejarah yang lalu tidak memberi sebarang manfaat sebaliknya berpotensi menggagalkan usaha penyatuan ummah yang sedang giat dijalankan pada hari ini.

Ini katanya, akan terus merugikan umat Islam yang pada hari ini semakin ditekan dengan pelbagai isu yang sengaja diwujudkan oleh golongan-golongan tertentu demi kepentingan politik perkauman mereka.

“Apabila kita memandang ke hadapan, halatuju kita jelas untuk memenangkan kuasa politik orang Islam berbanding mengungkit sejarah lampau yang tidak beri sebarang manfaat pun buat kita.

“Kita nak pandu kereta pun kena banyak pandang ke depan dari pandang ke cermin sisi dan belakang, mustahil untuk memandu dengan baik jika asyik memandang ke belakang sahaja (mengungkit sejarah).

“Nak tengok sejarah boleh, tapi cukup hanya untuk ambil pengajaran bukan untuk diungkit,” tegas beliau.

Kira-kira 2000 orang hadir dalam program berkenaan yang turut membariskan tiga orang penceramah lain iaitu Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd. Shukri Ramli, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Dato’ Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perlis, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim.

Jelasnya lagi, muafakat yang berjaya dibentuk antara PAS dan UMNO ini sangat digeruni oleh pihak kerajaan sehingga (muafakat ini) dimomokkan sebagai tindakan ektrim dan rasis.

“Muafakat yang dibentuk adalah untuk menjamin kestabilan negara, sejarah Islam tidak pernah tertulis bahawa negara yang diterajui oleh umat Islam akan menggugat warganegara yang berbeza kaum mahupun agama,” ujar beliau.

Beliau turut mengambil contoh bagaimana Nabi Muhammad S.A.W memulakan langkah pertama ke arah pembentukan negara madinah, dengan menyatukan golongan Muhajirin dan Ansar yakni golongan majoriti yang tinggal di Madinah.

“Penyatuan antara kita ini bukanlah satu perbuatan yang ektrim atau rasis, sebaliknya kita berhasrat untuk mengembalikan kesatuan umat Islam yang sudah sekian lama kita idamkan,” tambahnya.