KENYATAAN MEDIA BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI PERLIS
ELAKKAN KRISIS PELANTIKAN MENTERI BESAR BERPANJANGAN
1. Menteri Besar merupakan jawatan tertinggi dalam pentadbiran sesebuah kerajaan negeri. Sekiranya krisis pelantikan Menteri Besar dan barisan kepimpinan kerajaan negeri ini berlanjutan, dibimbangi akan menimbulkan implikasi yang buruk di samping menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri Perlis.
2. Meskipun hampir dua minggu selepas selesai pilihanraya umum ke-14, Perlis menjadi satu-satunya negeri yang masih belum memiliki seorang menteri besar serta gagal membentuk kerajaan negeri. Situasi ini telah menimbulkan pelbagai persoalan di samping keresahan dalam kalangan rakyat negeri ini.
3. Justeru, PAS berharap agar Barisan Nasional yang telah diberi mandat untuk mentadbir negeri ini, dapat segera mencari penyelesaian agar kemelut ini tidak berlarutan, demi kebaikan semua pihak, khususnya rakyat negeri Perlis. Ketepikan segala bentuk kepentingan peribadi yang akhirnya menyebabkan rakyat menjadi mangsa.
4. PAS juga ingin mengingatkan Barisan Nasional agar menghormati DYMM Tuanku Raja Perlis dalam membuat sebarang keputusan berhubung isu ini. PAS meletakkan sepenuh keyakinan kepada kebijaksanaan DYMM Tuanku Raja Perlis dalam membuat keputusan yang terbaik demi rakyat dan negeri Perlis.
Yang Bertanggungjawab,
YB MOHD. SHUKRI BIN RAMLI
PESURUHJAYA PAS NEGERI PERLIS
ADUN SANGLANG
22 Mei 2018 M / 6 Ramadhan 1439H