Home Berita PAS Wilayah

Edaran Bendera Memeriahkan Sambutan Hari Wilayah 2021

329
SHARE

Oleh: Muhammad Hakim Al-Hashimi

WANGSA MAJU : Lebih 50 bendera Wilayah Persekutuan diedarkan kepada peniaga-peniaga di Jalan Taman Setapak Indah hari ini dalam Program Wilayah Prihatin 2021 bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021.

Program anjuran PAS Kawasan Wangsa Maju itu disempurnakan Ahli Dewan Negara, YB Senator Ustazah Nuridah Binti Mohd Salleh yang juga merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia.

Hadir sama ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Wangsa Maju, Ustaz Abdul Rani Bin Mohamed Daud dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju, Mohd Nur Azmi Yusuf.

Ketika ditanya, YB Senator mengulas bahawa program berkenaan bertujuan menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat yang mungkin sedikit suram akibat wabak COVID-19.

“Langkah ini akan diusahakan untuk dibuat setiap tahun dan kali ini adalah permulaannya sebagai antara usaha membantu negara dalam menyemai rasa cintakan negara dalam kalangan masyarakat.

“Walaupun negara kita khususnya di Wilayah ini masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), program ini masih kami teruskan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) langkah pencegahan virus COVID-19”, ujarnya.