Home Berita PAS Perak

E-Waste: Pencemaran jangka panjang yang mesti dicegah

339
SHARE

IBNU Khaldun di dalam kitab المقدمة menghuraikan mengenai konsep negara yang unggul. Dalam bab kebersihan, beliau mengutamakan kebersihan sungai sebagai sumber air, dan kebersihan udara sebagai sumber pernafasan.

Kedua-dua ini adalah keperluan yang ضروري (mendesak) bagi seseorang manusia. Negara yang baik menurut beliau, perlu mengutamakan aspek keselamatan dan kebersihan untuk mencapai ‘maqasid’ sebagai sebuah negara.

Mengikut definisi Eropah, E-Waste ialah Waste Electrical and Electronic Equipment (WEEE) and Restriction of Hazardous Substances (RoHS). Di Malaysia, E-Waste dikategorikan sebagai buangan terjadual dengan kod SW110 di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Penjanaan E-Waste terbahagi kepada 2 jenis punca iaitu daripada sektor industri dan yang dihasilkan daripada isi rumah. Peningkatan trend pengumpulan sisa elektronik (E-Waste) dari isi rumah telah menjadi antara isu utama global dan Malaysia amnya.

Perkembangan teknologi dan kebergantungan pengguna terhadap barangan elektrik dan elektronik, peningkatan populasi, dan taraf hidup masyarakat serta urbanisasi telah menjadi faktor yang menyumbang kepada penjanaan E-Waste negara.

Terdapat 6 jenis E-Waste yang dikategorikan sebagai barang kawalan seperti televisyen, peti sejuk, mesin basuh, komputer peribadi, penghawa dingin dan telefon bimbit. E-Waste (sisa elektronik) ini mempunyai bahan toksik dan logam berat yang sangat berbahaya seperti plumbum, raksa, arsenik, merkuri, selenium dan lain-lain yang terkait dengan pencemaran alam sekitar.

Islam mengajar kita mengenai tanggungjawab memelihara kelestarian alam. Sabda Baginda S.A.W;

‎إنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ، وإنَّ اللَّهَ مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا، فَيَنْظُرُ كيفَ تَعْمَلُونَ

“Sesungguhnya dunia ini cantik lagi menghijau, dan sesungguhnya Allah telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Di dalam al-Quran sahaja, terdapat 16 ayat yang menggambarkan larangan merosakkan bumi. Firman Allah S.W.T di dalam Surah al Baqarah ayat 60

‎كُلُوا وَاشْرَبُوا مِن رِّزْقِ اللَّهِ وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ

“(Dan Kami berfirman): “Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi”.”

Sisa-sisa ini jika dibiarkan dan terbakar, ianya berpotensi untuk mengeluarkan gas berbahaya seperti Dioksin dan Furan atau secara umumnya sejenis pencemaran yang terhasil dan mengandungi kimia. Secara umumnya, bahan E-Waste ini jika tidak terurus dengan baik, ia boleh memberi kesan kepada pencemaran alam.

Antaranya ialah unsur ini akan meresap ke air bawah tanah (groundwater), terlepas ke udara, masuk ke dalam kitaran kehidupan, pencemaran kepada pertanian dan penternakan, mutasi dan kecacatan kepada makhluk hidup dan alam dan menjejaskan alam sekitar seperti kepupusan spesis.

Populasi rakyat Malaysia sebanyak 32.6 juta (2019) berpotensi menjana E-Waste sebanyak 8.8kg setiap orang, dijangkakan trend penghasilan E-Waste dari setiap isi rumah akan meningkat sebanyak 24.5 juta unit menjelang 2025 (mengikut kajian Japan International Cooperation Agency) 2015.

Justeru, pencemaran ini perlu dicegah selaras dengan kewajipan memelihara kelestarian alam. Antara langkah yang perlu dilakukan ialah, E-Waste hendaklah dihantar ke pusat pengumpulan berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar. Di Negeri Perak terdapat 10 pusat pengumpulan E-Waste yang berdaftar.

Jabatan Alam Sekitar sebagai agensi peneraju yang bertanggungjawab dalam pengurusan buangan terjadual di Malaysia dengan bantuan teknikal daripada Kerajaan Jepun, melalui Japan International Cooperation Agency (JICA) telah membangunkan Sistem Pengurusan Buangan Peralatan Elektrik dan Elektronik dari isi rumah.

Sistem ini menerapkan ‘shared responsibility’ yang mana semua pihak berperanan dan bertanggungjawab melaksanakan peranan masing-masing. Hal ini selaras dengan firmanNya di dalam Surah al Maidah ayat 2:

‎وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

USTAZ MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi
Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau
Negeri Perak

Sumber: USTAZ MOHD AKMAL KAMARUDIN – HARAKAHDAILY 5/9/2021