Oleh : Mohd Faris Ameir b Ibrahim
SETIU – Fenomena sukan elektronik , E-sukan yang menjadi kegilaan ramai khususnya anak-anak muda di negara ini, tidak salah tetapi perlu kepada kepada pemantauan agar tidak menimbulkan sebarang masalah.
Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, perkembangan pesat seiring dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), ia berupaya menjadi aktiviti yang sihat kepada remaja.
Namun begitu katanya, pengurusan waktu sangat penting agar perkara tersebut, tidak membawa kepada kelekaan sehingga mengabaikan kewajipan.
“Bermain tidak mengapa, tidak menjadi kesalahan cuma jangan sampai mengabaikan hubungan dan urusan kekeluargaan, terlalu leka bermain boleh membawa kesan malas dalam menolong ibu bapa di rumah.
“Juga jangan sampai tahap meninggalkan dan melewatkan solat akibat sibuk bermain permainan ini,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Setiu.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang di Pertandingan E-Sport PUBG Tertutup DUN Permaisuri yang bertempat di Dewan Majlis Daerah Setiu Sg Tarom, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan teknologi baharu ini memudahkan rakyat untuk mencapai ilmu pengetahuan hanya berada dihujung jari segala maklumat akan didapati.
Sebaliknya tambah beliau, kesan buruk adalah apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab, menyebarkan perkara yang tidak benar.
“ Namun peranan kita sebagai pengguna perlu menyelidik dahulu segala maklumat dan berita yang diterima dan jangan menyebar maklumat yang berunsur fitnah yang kita tidak tahu akan kepastianya.
“Gunakan teknologi baru hari ini untuk perkara yang memanfaatkan kita supaya tidak menjadi mudarat kita didunia dan di akhirat,” tegasnya