Home Berita PAS Perak

E-Sukan Bukan Sekadar ‘Permainan Video’

668
SHARE

Image may contain: 6 people, people standinge-SUKAN BUKAN SEKADAR ‘PERMAINAN VIDEO’

KUALA KANGSAR, 8 Ogos 2020 – Masyarakat perlu menghakis persepsi negatif mengenai industri e-sukan yang dikatakan hanya membuang masa dan tidak berfaedah untuk disertai oleh golongan muda.

Jelas Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, YB Khairul Shahril Mohamed, sukan elektronik ini bukan sekadar bermain permainan video, namun ia juga mampu memberi pulangan lumayan kepada peserta melalui pertandingan-pertandingan yang diadakan.

“Kita melihat semakin ramai golongan muda yang cenderung untuk menyertai pertandingan sukan elektronik (e-sukan) ini, jadi kita telah anjurkan beberapa program supaya bakat anak muda kita tidak dipersia.

“Bukan hanya sekadar bermain ‘permainan video’, kita juga berharap dengan perkembangan e-sukan pada hari ini dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan seperti atlet, jurulatih, penyelaras dan juga kumpulan sokongan” jelas beliau semasa merasmikan USAS Santai Gaming Tournament (USG) di sini hari ini.

Tegasnya, masyarakat perlu membuka mata dan menerima perkembangan dunia sukan melalui pertandingan sukan elektronik dan tidak hanya tertumpu kepada sukan lain.

Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dalam melaksanakan USG yang menarik banyak penyertaan dalam kalangan pelajarnya selain bersesuaian untuk diadakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Pertandingan atas talian seperti ini tidak semestinya perlu diadakan di kawasan yang besar dengan penonton yang ramai, seperti hari ini, USAS hanya jalankan program secara atas talian dan ditonton secara langsung melalui laman sosial” tambahnya.

Menurutnya lagi, program itu dapat menyediakan saluran yang betul bagi anak muda mengisi masa lapang sepanjang PKP di samping mencungkil bakat pelajar dalam e-sukan.

Beliau turut berharap supaya setiap daerah di Negeri Perak dapat mewujudkan Kelab e-sukan masing-masing di bawah seliaan Persatuan e-Sports Negeri Perak.

USAS Santai Gaming (USG) yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu menyaksikan penyertaan 288 peserta bagi merebut hadiah terkumpul sebanyak RM4000.

Turut hadir semasa perasmian program tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Bukit Chandan, YB Maslin Sham Razman, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dato’ Dr. Wan Sabri Wan Yusof, Timbalan Naib Canselor Pentadbiran dan Kewangan, Anas Md. Yusof.

Sumber: Komunikasi Strategik Perak [Stratcom]

Image may contain: 2 people, people sitting and textImage may contain: 4 people, people standing and text