Home Berita PAS Terengganu

Durian kampung bakal tembusi pasaran dunia

126
SHARE

HULU TERENGGANU, 9 Ogos -Jabatan Pertanian Negeri Terengganu menyasar durian kampung segar tempatan untuk menembusi pasaran dunia dalam tempoh terdekat sekali gus bakal menjadikan durian premium itu setaraf Musang King (D197) yang berada di pasaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, usaha tersebut kini giat dijalankan oleh Jabatan Pertanian Negeri Terengganu melalui pertandingan yang diadakan sejak Julai lepas, yang bertujuan mengenal pasti varieti durian kampung berkualiti tinggi.

“Pertandingan bermula di peringkat kampung dengan memilih durian yang terbaik, untuk ke pertandingan peringkat daerah dan seterusnya ke peringkat negeri. Hasilnya kita berjaya kenal pasti 10 varieti durian kampung premium yang sangat bagus dan mempunyai kriteria setaraf durian hidbrid, yang mendapat permintaan tinggi di pasaran dunia ketika ini.

“Proses mendaftarkan varieti durian ini akan dilakukan secepat mungkin, mengikut ciri-ciri istimewanya agar ia mampu berada dalam kategori durian premium, sama seperti durian yang menjadi buruan ramai ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses penghakiman durian yang dipertandingkan di Kompleks Pertanian Ajil di sini.

Turut hadir Pengarah Pertanian Negeri Terengganu Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof dan ketua hakim iaitu Pensyarah Pusat Pengurusan Ladang Fakulti Biosumber dan Industri Makanan Universiti Sultan Zainal Abidin Profesor Dr Jamil Zakaria.

Johan pertandingan tersebut dimenangi oleh pekebun dari daerah Kuala Nerus, dengan wang tunai RM3,000 manakala naib johan dan tempat ke tiga masing-masing dimenangi pekebun dari daerah Marang dengan hadiah RM2,000 dan RM1,000.