Oleh: KHAULAH AL AZWAR
BENTONG, 18 MAC – Dengan objektif Pelangai sebagai salah satu DUN yang bakal ditawan dalam pilihan raya akan datang, tiga peneraju utama Kawasan Bentong iaitu Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua, turun padang membantu mengagihkan bubur lambuk petang semalam.
Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Bentong, Cikgu Khairuddin Abdullah berkata, program seumpama ini merupakan salah satu daripada inisiatif berterusan pasukannya ‘menarah’ kubu kuat UMNO tersebut sedikit demi sedikit.
“Insya-Allah PAS nak teraju Pahang, kita buat pelan-pelan, bukit kalau ditarah sikit-sikit, lama-lama hancur jugak.
“Walaupun tak dapat nak sediakan dalam jumlah yang banyak kerana kewangan kita terhad, tapi kita tetap buat juga, inilah yang kita termampu,” katanya ketika mengagihkan bubur lambuk bersama isteri, Roslin Jidin di Felda Sungai Kemahal, petang semalam.
Sebanyak 300 pek bubur lambuk Ramadan resepi istimewa ‘Mak Ngah Raden’ diagihkan secara percuma ke cawangan-cawangan PAS sekitar DUN Pelangai seperti Felda Chemomoi, Kemasul, Kampung Hayat, Kampung Baris dan Bukit Gajah.