Home Berita PAS Pahang

DUN Chini raikan petugas banjir

131
SHARE

Oleh: ZAITON ABDUL HALIM

PEKAN, 30 Jan :: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DUN Chini telah meraikan sukarelawan Khidmat Malaysia pasca banjir di Markas PAS Cawangan Chini 5, di sini Khamis lalu.

Majlis tersebut dihadiri oleh Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf dan Ustaz Mohd Fadhil Noor Abdul Karim.

Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua merangkap Pengerusi Khidmat Malaysia Pekan, Kapten (B) Ahiatudin Daud, Pengarah Pilihanraya Kawasan Pekan, Nazhar Othman dan Pengerusi Assabiqun, Madon Ahamad.

Ahiatudin menyifatkan sikap pantas dalam membuat keputusan yang ditunjukkan oleh petugas banjir ketika berhadapan dengan situasi yang tidak diduga wajar dipuji.

Beliau dalam ucapan penghargaannya memuji tindakan tersebut berdasarkan pengalaman yang dilaluinya sebagai bekas tentera yang memerlukan tindakan segera apabila berdepan serangan hendap pihak musuh.

Sementara itu para petugas yang diraikan telah menzahirkan kegembiraan dan berbangga berpeluang membantu masyarakat dalam apa jua keadaan sekalipun. Mereka telah menerima cenderahati dan sijil.

Umum mengetahui bahawa Pahang adalah salah sebuah negeri yang turut terjejas dalam musibah banjir yang melanda negara baru-baru ini.

Khidmat Malaysia, Jabatan Amal, Dewan Muslimat dan Ameerah telah bersatu menggembleng tenaga dalam membantu dan memberi sumbangan kepada mangsa banjir yang terlibat.