Home Berita PAS Melaka

Dua bekas pendidik calon Perikatan Nasional daripada PAS di Masjid Tanah

1857
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 6 Nov : Dua orang bekas pendidik iaitu cikgu Aziah Mohd Saad dan cikgu Abu Hashim Abdul Samad diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional daripada PAS yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal bermula minggu hadapan.

Cikgu Aziah, 59 diamanahkan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N01 Kuala Linggi sementara cikgu Abu Hashim, 61 pula di kerusi N05 Taboh Naning.

Pengumuman calon-calon bagi mewakili Perikatan Nasional ini telah dibuat oleh pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi yang dipancarkan secara dalam talian melalui laman Facebook rasmi beliau.

Secara keseluruhan PAS bakal bertanding di lapan kerusi DUN iaitu N09 Durian Tunggal, Ja’afar Othman, N14 Klebang, Bakri Jamaluddin, N17 Bukit Katil, Ustaz Muhammad Al Afiz Yahya, N21 Duyong, Ustaz Kamarudin Sidek, N26 Serkam, Ustaz Ahmad Bilal Rahaudin dan N27 Merlimau, Abd Alim Shapie selain dua kerusi tadi.

PRN ini diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang diwartakan pada 5 Oktober lepas akibat daripada krisis politik yang berlaku di negeri ini.

Krisis bermula apabila empat Ahli DUN kerajaan diketuai Dato’ Seri Utama Idris Haron menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dalam satu sidang media pada 4 Oktober lepas.

Rakyat Melaka bakal membuang undi pada 20 November depan dengan kempen yang berlangsung dengan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat selepas proses penamaan calon pada 8 November.