Home Berita PAS Selangor

DPPPJS | “Syarif Hussien – Bukti Islam Mementingkan Keimanan Bukan Keturunan”

843
SHARE

SYARIF HUSSEIN – BUKTI ISLAM MEMENTINGKAN KEIMANAN BUKAN KETURUNAN.

• IMAN YANG UTAMA.

Agak gegak media maya berkaitan posting artikel yang bertajuk “SYARIF HUSSEIN, KETURUNAN NABI YANG MENGECEWAKAN UMAT”. Rata-rata yang tidak bersetuju hanya berbahas tentang tajuknya sahaja dengan mengenepikan isi kandungannya.

Jika diteliti isi kandungannya jelas mesej yang ingin disampaikan oleh penulis adalah bagaimana jahatnya zionis serta anak buahnya untuk melemahkan umat Islam sehingga tahap menggunakan seorang lelaki berketurunan Nabi untuk memerangkap dan menyesatkan umat.

Namun realiti itu tidak pun diambil kira sebaliknya yang menjadi masalah besarnya adalah tajuk artikel tersebut. Di sisi Islam iman dan taqwa menjadi ukuran kemulian seseorang bukan bangsa dan keturunan.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). Al-Hujurat: 13.

Bahkan Nabi turut berpesan;

(إن الله لا ينظر إلى أجسامكم، ولا إلى صوركم، ولكن ينظر إلى قلوبكم)رواه مسلم.

Sesungguhnya Allah tidak melihat pada fizikalmu, juga tidak pada rupa parasmu tetapi Dia melihat pada hatimu.

• KELEBIHAN AHLI BAIT KETURUNAN NABI SAW.

Kesepakatan tentang kelebihan dan kemuliaan keturunan Nabi SAW adalah satu perkara yang disepakati dan tiada pertikaian tentangnya. Namun kesepakatan yang jelas juga tentang pertembungan antara keturunan Nabi SAW dengan kebenaran juga adalah satu sudut yang tidak boleh dinafikan.

Nabi SAW bersabda;

وايم الله لو أن فاطمة بنت محمد سرقت لقطعت يدها

Demi Allah Jika Fatimah Binti Muhammad mencuri, pasti aku potong tangannya.

Janganlah disebabkan keturunan dan kedudukan kita menjadi berat sebelah dan tidak berlaku adil. Sangat jelas mesej yang disabdakan oleh Nabi SAW;

إِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ ، أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ ، وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الحَدَّ

Sesungguhnya telah musnah kaum sebelummu apabila kaum yang mulia mencuri dilepaskan dan apabila kaum yang lemah mencurikan dikenakan hukuman ke atasnya.

Firman Allah Taala;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. Al-Ma’idah: 8

• MEMBELA BUKAN MENGECEWAKAN.

Ummat Islam mendambakan pembelaan daripada keturunan Nabi dan para wali Allah yang ikhlas berjihad di jalanNya. Syarif Hussein antara contoh keturunan Nabi yang mengecewakan ummat dan bukan membelanya. Ummat yang kecewa dengan pengkhianatan Syarif bukanlah bererti kecewa dengan seluruh keturunan Nabi tetapi sosok tubuh yang mengkhianati perjuangan dan dakwah datuk moyangnya sendiri.

Nabi adalah seorang Rasul yang sentiasa membela ummatnya sehingga tubuhnya menjadi galang ganti buat para sahabatnya.

Janganlah disebabkan oleh ketaksuban yang membutakan sehingga kita menyokong kezaliman yang dilakukan atas nama Ahli Bait Nabi SAW.

Nabi SAW pernah ditanya apakah yang diertikan dengan Asabiyyah. Nabi menjawab apabila kamu membantu kaumku atas jalan kezaliman, yang bererti wajib bagimu menuruti kebenaran tanpa mempedulikan kritikan manusia.

Adapun yang wujud hari ini walaupun melaungkan slogan sayangkan Nabi, hakikatnya adalah asabiyyah. Membela ahli bait walaupun dalam perkara yang batil.

• MEMAKSUMKAN AHLI BAIT MERUPAKAN KEPERCAYAAN SYIAH.

Paling membimbangkan adalah apabila sampai ke tahap memaksumkan ahli bait Nabi SAW sedangkan jelas di dalam aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang maksum hanyalah Nabi Muhammad SAW. Memuliakan mereka hingga ke tahap memaksumkan mereka adalah antara kepercayaan penganut Syiah.

Semoga kita semua dipelihara dan dilindungi Allah SWT.

Apa yang pasti, al-Mahdi akan muncul menyelamatkan umat akhir zaman. Beliau berketurunan Nabi dan sama sekali tidak akan bersekongkol dengan pihak taghut.

Ya Allah tunjukkan kami akan kebenaran yang benar agar kami dapat mengikutinya dan tunjukkan kami kebatilan itu adalah batil agar kami dapat menjauhinya.

Muhamad Hakimi Hussain
Dewan Pemuda PAS Petaling Jaya Selatan