DPPNT menyambut baik kenyataan YB Senator Ir Haji Khairil Nizam Khiruddin Ketua Pemuda Perikatan Nasional yang menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Yang Di-pertuan Agung dalam kenyataan baginda yang telah dikeluarkan selepas pertemuan bersama Raja-Raja Melayu pada 16 Jun 2021 yang lalu.
Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dengan penuh hikmah dan bijaksana bertitah kepada kerajaan PN dan seluruh Ahli Parlimen untuk terus berusaha sebaik mungkin agar kesejahteraan nyawa dan kehidupan rakyat negara Malaysia terus dijaga daripada dihimpit kesempitan ekoran pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara hari ini. Ianya dilihat begitu bertepatan dengan Pelan Pemulihan Negara yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini.
Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu juga bertitah dengan penuh ketegasan kepada semua pihak agar menjaga kestabilan kerajaan PN yang ada hari ini dengan menghulurkan bantuan yang sewajarnya dan janganlah masih bermain politik dalam keadaan negara yang masih terjejas dengan pandemik COVID-19 ini. DPPNT juga menyeru kepada seluruh ahli politik untuk berganding bahu membantu kerajaan dengan mengenepikan perbezaan fahaman politik untuk sementara waktu untuk kesejahteraan rakyat bersama.
DPPNT juga menjunjung titah KDYMM Tuanku YDPA untuk mengadakan sidang Parlimen dalam masa yang terdekat dan pastinya tindakan yang sewajarnya telah diambil oleh pihak Pejabat Perdana Menteri berdasarkan Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada 17 Jun 2021. DPPNT juga berharap Sidang Parlimen yang akan diadakan ini tidak menjadi medan menghalalkan nafsu sebahagian Ahli Parlimen yang gila kuasa yang akhirnya akan membebankan rakyat dengan polemik politik yang tidak berkesudahan.
Daulat Tuanku
Mohd Nasir bin Abdul Razak
Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu