Home Berita PAS Pahang

DPPNP tidak mahu Malaysia digelar ‘Darul Nikotin’

149
SHARE

OLEH : KHAULAH AL AZWAR

KUANTAN, 12 Jun ♦ Kerajaan digesa melaksanakan segera Rang Undang-Undang (RUU) Akta Generasi Penamat Rokok (GEG) jika tidak mahu digelar ‘Malaysia Darul Nikotin’.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP), Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih berkata, RUU ini perlu segera dibentang memandangkan aktiviti menghisap rokok elektronik atau vape di kalangan anak-anak muda semakin serius dan membimbangkan.

“Kerajaan Madani dilihat tergesa-gesa mengeluarkan nikotin dari Akta Racun Negara pada bulan lepas. Ini sekaligus memberi kesan kepada kanak-kanak yang bakal terdedah kepada ancaman vape secara lebih meluas akibat keputusan yang tidak masuk akal tersebut.

“Justeru, kami menggesa pihak kerajaan melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Generasi Penamat Rokok (GEG) dengan kadar segera,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

April lalu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataannya berkata, kerajaan bakal membentangkan satu Rang Undang-Undang (RUU) baharu yang bertindak mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan merokok mengandungi nikotin yang digunakan untuk tujuan merokok.

Menurutnya Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan RUU baharu itu merangkumi dasar atau Akta Generasi Penamat Rokok (GEG) dalam sidang Dewan Rakyat.

GEG (Generational End Game) ialah dasar baharu dicadangkan KKM bagi mewujudkan generasi baru yang bebas tabiat merokok termasuk penggunaan rokok elektronik terutama generasi muda yang lahir selepas 2007.

Baru-baru ini tular isu seorang kanak-kanak perempuan di Bera berusia dua tahun mungkin mengalami keracunan nikotin selepas dipercayai tertelan cecair daripada peranti vape.

Susulan kejadian itu, Harian Dewan Pemuda PAS Pahang telah mengatur satu pertemuan meja bulat dengan ‘Pakar Berhenti Merokok’, Pensyarah Kanan Kuliyyah Farmasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed, Khamis lalu.

Haniki dilantik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai Ahli Jawatankuasa bagi Kumpulan Kerja Teknikal Shisha dan e-Rokok, panel pakar mengenai e-rokok serta pakar Penilaian Teknologi Kesihatan (berhenti merokok).

Untuk rekod, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 22 Disember 2015 telah memutuskan bahawa Rokok Elektronik/Vape adalah haram.

Begitu juga Jawatankuasa Fatwa Negeri Pahang telah memutuskan penggunaan vape haram digunakan kepada semua umat Islam di Negeri Pahang.