Home Minda Presiden

Dosa besar menyebarkan berita yang merosakkan

168
SHARE

Dosa besar menyebarkan berita yang merosakkan

Minda Presiden PAS

DOSA BESAR MENYEBARKAN BERITA YANG MEROSAKKAN


Terlebih dahulu izinkan saya untuk menulis tentang polemik perang siber yang semakin merebak dengan parah dan secara melampau hari ini, dengan huraian yang sedikit berlainan kerana sudah ada campur tangan musuh dalam dan luar negara.

Mereka menggunakan bantuan ejen dan suntikan dana, kerana ingin menyelamatkan golongan yang terus terlanjur dalam perang maklumat yang semakin maju, sama ada ke arah kebaikan mahupun kemungkaran.

Firman Allah SWT:

﴿وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنْسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ١١٢ وَلِتَصْغَى إِلَيْهِ أَفْئِدَةُ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ وَلِيَرْضَوْهُ وَلِيَقْتَرِفُوا مَا هُمْ مُقْتَرِفُونَ١١٣﴾

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dalam kalangan syaitan-syaitan (daripada jenis) manusia dan jin, sebahagian daripada mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdayakan pendengarnya (manusia). Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan itu. (112); Dan juga supaya hati orang-orang yang tidak beriman kepada Hari Akhirat cenderung kepada bisikan itu, dan supaya mereka merasa senang kepadanya, dan juga supaya mereka (terus) melakukan apa yang mereka lakukan itu. (113).” (Surah al-An‘am: 112-113)

Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ١٩﴾

“Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara), sedang kalian tidak mengetahui.” (Surah al-Nur: 19)

Sabda Rasulullah SAW:

وَأَمَّا ‌الرَّجُلُ ‌الَّذِي ‌أَتَيْتَ ‌عَلَيْهِ، ‌يُشَرْشَرُ ‌شِدْقُهُ ‌إِلَى ‌قَفَاهُ، ‌وَمَنْخِرُهُ ‌إِلَى ‌قَفَاهُ، ‌وَعَيْنُهُ ‌إِلَى ‌قَفَاهُ، فَإِنَّهُ الرَّجُلُ يَغْدُو مِنْ بَيْتِهِ، فَيَكْذِبُ الكَذْبَةَ تَبْلُغُ الآفَاقَ.

“Adapun orang yang dicangkuk pipinya menembusi belakang leher, dicangkuk lubang hidungnya menembusi belakang leher dan dicangkuk matanya menembusi belakang leher ialah seorang yang bergiat sejak awal pagi di rumahnya menyebarkan berita bohong ke seluruh ufuk dunia.” (Riwayat al-Bukhari 7047)

Manusia yang dimuliakan oleh Allah SWT dengan adanya akal, ilmu dan pengalaman diberikan peranan untuk memakmurkan dunia, tempat di mana mereka diuji sebelum memasuki alam barzakh di dalam kubur dan alam akhirat yang telah dijanjikan. Namun begitu, ramai dalam kalangan mereka yang telah menyalahgunakan kurniaan Allah SWT yang berharga itu.

Hal tersebut kerana mereka tergoda dengan merasa bijak sehingga menjadi takabur, lalu mencabar Allah yang Maha Berkuasa. Begitu juga disebabkan oleh kejahilan dan kebodohan, digoda oleh syaitan atau tenggelam dalam mengejar dunia tanpa sempadan. Allah SWT memberikan petunjuk dengan peringatan dan amaran melalui Kitab dan Rasul-Nya SAW.

Mereka yang beriman kepada Allah SWT dan janji-Nya, dibuka pintu taubat seluas-luasnya. Manakala mereka yang tidak beriman, golongan munafiq atau lemah imannya, terus bersedia menuju kemusnahan di dunia dan terus ke Neraka Jahannam.

Cara yang paling mudah untuk tergelincir ialah melalui penyebaran ilmu dan maklumat ke mana sahaja, menggunakan teknologi yang paling canggih dan pesat kemajuannya dengan menggerakkan jari sahaja.

Sepatutnya teknologi dimanfaatkan untuk mengerjakan amal yang soleh, menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran mengikut sempadan Allah SWT. Namun, terdapat mereka yang menyalahgunakan akal dan kebolehannya pada kemungkaran dengan mudah.

Malahan terdapat mereka yang tidak tahu menilai kurniaan Allah SWT sehingga tidak mengambil manfaat bagi diri sendiri dan orang lain. Bahkan ada dalam kalangan mereka, laksana kera mendapat bunga yang indah, lalu dikoyak dan dimusnahkan.

Malangnya ada juga sekelompok manusia menjadi makhluk perosak yang lebih dahsyat daripada binatang yang tidak berakal. Firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ  أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ١٧٩﴾

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi) neraka jahanam kebanyakan daripada kalangan jin dan manusia yang mempunyai hati, tetapi tidak digunakan untuk memahaminya (ayat-ayat Allah), dan mereka mempunyai mata, tetapi tidak digunakan untuk melihatnya (bukti keesaan Allah SWT) dan mereka mempunyai telinga, tetapi tidak digunakan untuk mendengarnya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A‘raf: 179)

Rasulullah SAW menunjukkan mukjizat tanda kerasulannya dengan mendedahkan perkara yang berlaku pada abad ke-15 selepas kewafatannya. Terdapat dalam kalangan manusia menyebarkan maklumat yang merosakkan ke seluruh pelosok dunia sejak pagi hingga petang. Mereka diseksa di alam barzakh (kubur) lagi, sebelum berlakunya Hari Kiamat yang besar. Keadaan ini memberikan suatu peringatan kepada umat manusia yang beriman. Biarlah ia dipersendakan oleh mereka yang tidak beriman.

Tindakan menyebarkan berita dan maklumat yang negatif boleh berlaku bukan sahaja dalam perkara yang bohong, salah dan nyata fitnahnya, bahkan boleh juga berlaku pada berita yang benar dan betul, apabila salah pendekatan dan caranya.

Kita berada pada zaman kemunculan media sosial terkini dengan tersebarnya fahaman liberal yang tidak beragama atau tidak mempedulikan agama dan moral.

Aliran liberal yang bergerak atas nama hak kebebasan media yang dihayati oleh masyarakat Barat sudah tenggelam dan hanyut manusiawinya. Mereka tidak boleh dibiarkan menjadi makhluk perosak dalam masyarakat kita yang masih mempunyai sifat agama. Golongan tersebut mula menunjukkan keberanian dengan menghentam pihak agama dan para ilmuwan.

Mana-mana pandangan yang kuat dan lemah, dan salah dalam skop ilmu agama diberikan kelebihan. Kalau pandangan itu betul, maka akan mendapat dua pahala, jika salah mendapat satu pahala. Akan tetapi, mereka yang bukan daripada lapangan ilmu agama menjadi makhluk perosak pada akhir zaman.

Allah SWT memerintahkan supaya orang-orang yang beriman jangan mendekati kumpulan-kumpulan tersebut. Sebagaimana firman-Nya:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ إِنْ كُنْتُمْ تَعْقِلُونَ١١٨ هَا أَنْتُمْ أُولَاءِ تُحِبُّونَهُمْ وَلَا يُحِبُّونَكُمْ وَتُؤْمِنُونَ بِالْكِتَابِ كُلِّهِ وَإِذَا لَقُوكُمْ قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا عَضُّوا عَلَيْكُمُ الْأَنَامِلَ مِنَ الْغَيْظِ قُلْ مُوتُوا بِغَيْظِكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ١١٩ إِنْ تَمْسَسْكُمْ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ وَإِنْ تُصِبْكُمْ سَيِّئَةٌ يَفْرَحُوا بِهَا  وَإِنْ تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ١٢٠﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kalian mengambil orang-orang yang bukan daripada kalangan kalian menjadi teman yang dipercayai. Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha untuk mendatangkan bencana kepada kalian. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kalian. Telah nyata (tanda-tanda) kebencian mereka daripada pertuturan mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kalian akan keterangan-keterangan itu jika kalian (mahu) memahaminya. (118); Beginilah kalian! Kalian menyukai mereka, padahal mereka tidak menyukai kalian, dan kalian beriman kepada semua Kitab. Apabila mereka berjumpa kalian, mereka berkata; ‘Kami beriman,’ dan apabila mereka menyendiri, mereka menggigit hujung jari lantaran marah dan benci terhadap kalian. Katakanlah: ‘Matilah kalian kerana kemarahan kalian itu!’ Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui segala isi hati. (119); Jika kalian beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kalian ditimpa dengan bencana, mereka bergembira dengannya. Dan jika kalian bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka tidak akan kemudaratan ke atas kalian sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuan-Nya akan apa yang mereka lakukan. (120).” (Surah Ali ‘Imran: 118-120)

Peranan media sosial dalam menyebarkan kerosakan tersebut sudah mencapai tahap kemungkaran besar, suatu perkara yang wajib dicegah dengan dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman yang keras.

Sehingga ada situasi yang sampai ke peringkat boleh dijatuhkan hudud dan sekurang-kurangnya dijatuhkan hukuman takzir, khususnya kini menjadi masalah dalam situasi darurat akibat penularan wabak di seluruh pelosok dunia. Allah SWT menolak segala dakwaan dan sangka baik yang diuar-uarkan oleh mereka. Firman Allah SWT:

﴿قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا١٠٣ الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا١٠٤ أُولَئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا١٠٥ ذَلِكَ جَزَاؤُهُمْ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُوا وَاتَّخَذُوا آيَاتِي وَرُسُلِي هُزُوًا١٠٦﴾

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Mahukah Kami khabarkan kepada kalian akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?(103); (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.’ (104); Merekalah orang-orang yang kufur dan ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengan-Nya; oleh itu gugurlah amalan mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberikan sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada Hari Kiamat kelak. (105); (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya akan dicampakkan ke dalam neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur dan ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayat-Ku dan Rasul-rasul-Ku sebagai ejek-ejekan. (106).” (Surah al-Kahfi: 103-106)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 25 Ramadhan 1442 / 7 Mei 2021