Home Berita PAS Pahang

DMPM suntik semangat, hargai khidmat para aktivis muslimat harungi banjir

60
SHARE

Oleh: AZURA AWANG

PAYA BESAR, 22 Jan :: Majlis Serahan Sumbangan Banjir kepada aktivis-aktivis muslimat PAS Malaysia daripada Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) berlangsung di Dewan Seminar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Darussalam, Permatang Badak dekat sini kelmarin.

Kali ini untuk 16 orang penerima Kawasan Paya Besar dan 12 orang bagi Kawasan Kuantan yang terlibat banjir baru-baru ini.

Hadir menyerahkan sumbangan ialah Ketua DMPM, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, diiringi oleh Naib Ketua DMPM merangkap Ketua DMP Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor, dan Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DMPM, Zurina Din.

Turut hadir adalah Ketua DMP Kawasan Paya Besar, Ustazah Norzilah Hussain, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Paya Besar dan Kuantan, Sabariah Muda dan Fazidah Othman.

Sumbangan ini khusus kepada aktivis muslimat terutama yang memegang jawatan di semua peringkat sebagai tanda ingatan daripada DMPM kepada aktivis kita sehingga di peringkat cawangan.

“Saya menganggap ujian ini merupakan tarbiyah daripada Allah SWT yang merupakan  proses untuk mendidik agar menyerahkan segala-galanya kepada Allah dan tidak dukacita dengan luputnya dunia yang ada,” kata Ustazah Nuridah di dalam ucapannya.

“Pada suatu masa tidak mustahil akan berlaku kepada lebih ramai umat manusia, hilang segala-galanya, lumpuh ekonomi dan lain-lain yang mereka lalui setiap hari. Jadi, ini juga merupakan proses awalan tarbiyah-Nya untuk kita tidak mencintai dunia.

“Pada saya orang yang dipilih oleh Allah ini memang manusia yang special. Cuma apabila berlaku kepada kita, bagaimana kita hendak menghadapinya.

“Dunia ini memang mudah sangat bagi Allah SWT untuk memusnahkannya. Jadi apa yang akan tinggal kita? Tak lain dan tak bukan ialah keimanan kita kepada Allah dan kesabaran kita dalam menghadapi ujian ini. Dan yang pasti kekal adalah akhirat.

“Teruskan berdoa semoga Allah menggantikan segala yang hilang dengan yang lebih baik di dunia dan akhirat. Yang paling utama adalah agar Allah menambah iman dan keyakinan kita kepada Allah SWT. Mudah-mudahan segala kesabaran yang Allah kurniakan kepada kita itu akan menghasilkan natijah yang sangat lumayan di akhirat kelak,” tambah Nuridah lagi.

Beliau turut mengingatkan agar para muslimat menjaga hubungan dengan Allah dan sentiasa bersedia untuk meneruskan tugas-tugas mendaulatkan Islam dalam diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia amnya.