Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

DMPM Anjur Kelas Asas Taranum Secara dalam Talian

932
SHARE

OLEH : ‘AISYAA YASMIN

KUALA LUMPUR : Dewan Muslimat PAS Malaysia, (DMPM) menerusi Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Rekreasi, (LKKR) telah menganjurkan kelas seni asas taranum Al-Quran secara dalam talian menggunakan aplikasi google meet kepada muslimat seluruh negeri.

Menurut pengerusi LKKR, Mardhiah Hayati Zulkefli , kelas taranum ini baru sahaja tamat pada hujung November sejak bermula pada bulan Julai lalu, dengan seramai lebih kurang 40 orang peserta telah mengambil bahagian.

Mengulas lanjut berkenaan kelas taranum, beliau berkata kelas ini terbuka untuk semua wanita tanpa mengira usia, dan peserta termuda yang mengambil bahagian adalah kanak-kanak berumur 9 tahun.

“Alhamdulillah kelas ini telah selesai dengan peserta yang terdiri daripada pelabagai lapisan umur, peserta paling muda berusia 9 dan 12 tahun, manakala yang lain berusia sekitar 20-66 tahun.”

“Sebanyak 6 lagu melalui Surah Al-Jumu’ah telah diajar oleh Ustazah Nur Afifah binti Zaki iaitu Bayyati, Hijjaz, Nahwand, Rast, Sikah dan Soba. Beliau juga merupakan Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Marang 2019”

Jelasnya lagi, LKKR mengambil inisiatif untuk menganjurkan Kelas Taranum secara dalam talian bagi menyemarakkan lagi pembudayaan Al-Quran dalam kalangan muslimat di samping memberikan peluang kepada mereka untuk mempelajari seni asas taranum Al-Quran ini secara berguru.

Kelas yang dijalankan secara berkala itu turut mendapat maklum balas positif daripada pimpinan DMPM yang menjadi pelajar kelas ini antaranya, Timbalan Ketua DMPM, Dr. Rosni Adam, Pengerusi Lajnah NGO DMPM, Puan Kartini Ahmad serta Ketua DMPN Negeri Sembilan, Puan Fazilah Abu Samah.

Di samping itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh juga pernah turut menyertai kelas taranum dan sempat mengalunkan beberapa harakat tausyih taranum Hijaz.