Home Berita PAS Sabah

Didikan ibu bapa di rumah asas utama keluarga

63
SHARE

Oleh : Nur Marlyannah Umar
7 Februari 2024

LAHAD DATU : Pendidikan ibu bapa kepada anak-anak di rumah merupakan asas utama dalam pembentukan keluarga yang sakinah.

Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Hendri Hamsah, ibu bapa harus mencontohi Rasulullah SAW yang berperibadi qudwatun hasanah dalam mendidik anak untuk mentaati agama.

“Ibu bapa adalah role model kepada anak-anak untuk membesar sebagai generasi yang baik.

“Pada zaman teknologi ini, cabarannya kian bertambah dalam memastikan kemenjadian anak-anak,” katanya semasa merasmikan Majlis Anugerah Prestasi PASTI Lahad Datu di sini baru-baru ini.

Beliau mengingatkan ibu bapa agar mempersiapkan anak-anak dengan didikan agama yang lengkap dengan semampu mungkin, agar mereka dapat terus menjadi hebat serta boleh berbakti kepada agama dan keluarga.

Menurutnya, sebagai ibu bapa, mereka mempunyai tanggungjawab yang besar bagi memastikan keluarga dijauhi daripada anasir luar yang cuba mempengaruhi anak-anak sebagai contoh penggunaan telefon pintar dan media sosial.

Hendri menyatakan bahawa, PAS komited menyediakan institusi pendidikan awal kanak-kanak, sebagai contoh di kawasan Lahad Datu sahaja, telah mempunyai 6 buah PASTI dan sebuah SRITI.

“Insyaallah kawasan ini bakal menubuhkan sebuah PASTI lagi pada sesi akan datang.

“Saya berharap, ibu bapa akan terus memberi sokongan dan dorongan kepada PASTI untuk melahirkan generasi soleh pintar,” ujarnya.

Dalam majlis tersebut, Hana Humaira Mohd Afri daripada PASTI Al-Falah telah mendapat Anugerah Mumtaz dan PASTI An-Najah pula dinobatkan sebagai PASTI Terbaik bagi sesi kali ini.

Turut hadir Ketua Dewan Ulama PAS Kawasan Lahad Datu, Ustaz Zaki Ibrahim, Pengerusi PASTI Lahad Datu, Landari Labobo dan Ahli Majlis Daerah, Kanizam Kamis.