Home Berita PAS Pahang

Dewan Ulamak PAS Indera Mahkota memugar keazaman berjuang

234
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 21 Jun :: Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang, YB Ustaz Zuridan Mohd Daud menyeru para ulamak untuk mengambil pengajaran dari Perang Tabuk dalam sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW untuk memperkasa dan mempertingkatkan lagi perjuangan Islam.

Dalam peperangan tersebut jelas memperlihatkan golongan yang benar-benar ikhlas menyahut seruan jihad walaupun berada dalam keadaan susah atau senang, ringan atau berat, usia muda atau tua hingga sanggup mengorbankan harta dan jiwa raga demi memperjuangkan agama Islam.

“Sibuk atau tidak sibuk, kerja jemaah jangan ditinggalkan. Janganlah kita cuba cipta alasan, kelak kita bijak mencipta alasan,” ujar beliau mengimbau kembali pesanan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

“Para ulamak tidak boleh sekadar mensucikan diri, memencilkan diri, tidak bercampur dengan masyarakat, tetapi kena berjuang dan berjihad  menegakkan agama Islam kerana itu adalah selari dengan sunah Rasulullah SAW sebagai ketua dalam Peperangan Tabuk,” tambah beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Damak.

Ucapan tersebut disampaikan beliau ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Ulamak PAS Indera Mahkota (DUPIM) Kali Ke-2 di De Rhu Beach Resort, Balok kelmarin.

Sebelum itu Ketua DUPIM, Ustaz Nasrudin Hassan dalam ucaptamanya berkata, “Tugas dan tanggungjawab para ulamak lebih banyak dari masa yang ada, oleh itu jangan habiskan masa dengan perkara yang tiada berfaedah, bertelagah dan bercakaran antara satu sama lain, berbalas serangan di medan medsos (media sosial).

“Para alim ulamak dan asatizah berperanan untuk menjadi bahtera penyelamat bagi mengeluarkan ummah dari hanyut dan tenggelam dalam arus jahiliah moden masa kini.

“Keistimewaan yang ada pada DUPIM adalah dengan kewujudan alimat yang menjadi aktres utama sebagai penggerak seiring dan selari dengan para alim ulamak ke arah mempersadakan syiar dan syariat dalam perjuangan Islam.

“Mereka adalah pengasuh utama dalam mencetak generasi akan datang, bahkan memiliki upaya yang tinggi bagi menentukan pembentukan kerajaan dan pemerintahan negara.

“Justeru alimat kitalah yang memastikan agar masyarakat kita dididik, dibimbing dan dipimpin dengan ilmu Islam supaya jumlah wanita yang ramai ini menjadi aset yang bernilai kepada gerakan Islam dan ummah keseluruhannya,” kata Ustaz Nasruddin.

Beliau seterusnya menyeru dan mengharapkan agar ahli DUPIM mengambil peluang dan kesempatan untuk menyantuni golongan Al-Malak, berperanan mengimarah institusi masjid, surau dan institusi awam dengan ilmu dan kefahaman Islam yang diberi oleh Allah SWT sebagai tempat rujukan masyarakat dan tidak terjebak dalam pertelingkahan yang merugikan serta tidak menjadi contoh yang buruk kepada awam.

Majlis perasmian Mesyuarat Agung DUPIM telah diserikan dengan kehadiran ADN Beserah Andansura Rabu, wakil Biro Agama Parti Bersatu, manakala pemerhati dari DUP Negeri Pahang Dr. Azhar Jaafar, dan Setiausaha PAS Indera Mahkota Johari Yahya sebagai pemerhati dari kawasan Indera Mahkota.