Home Berita PAS Terengganu

Dekati ‘Non-Muslim’

47
SHARE

MARANG – Muslimat perlu menyusun dan melaksanakan pelbagai program untuk mendekati dan menyantuni ‘non-Muslim’ supaya mereka mendapat gambaran yang baik mengenai Islam.

Ketua Muslimat PAS Terengganu, To’ Puan Hajah Zarani Othman berkata kajian menunjukkan kebanyakan golongan tersebut masih keliru terhadap agama Islam dan bangsa Melayu.

“Mereka perlu diberikan penerangan dan penjelasan yang tepat tentang Islam untuk membetulkan salah faham dan prejudis terhadap Islam,” ujarnya.

To’ Puan Zarani berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Muktamar Dewan Muslimat PAS Terengganu kali ke-51 yang bertema ‘Muslimat Berwawasan Ummah Sejahtera’ yang berlangsung di Dewan Maahad Tahfiz Al Busyra, Pengadang Baru di sini pada Sabtu, 8 Jun..

.

Menurutnya, elemen tarbiyah, dakwah dan siasah merupakan antara perkara penting dan merupakan kesinambungan tugas yang diwariskan oleh Rasulullah SAW.

“Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menjadikan ia fokus utama yang perlu dilaksanakan untuk mengembangkan dakwah Islam kepada masyarakat di Malaysia,” tambahnya lagi.

Beliau turut mencadangkan agar diwujudkan platform dialog antara agama yang membolehkan pertukaran pandangan secara harmoni dan membina pemahaman yang lebih baik antara Muslim dan non-Muslim.

” Di samping menyantuni dan mendekati komuniti non- muslim dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan bersama komuniti non-muslim untuk membina hubungan yang baik dan saling menghormati,” ujarnya.

Katanya, penggunaan media sosial dan platform digital juga mesti diaktifkan untuk menyebarkan mesej-mesej dakwah yang positif dan memberikan penjelasan mengenai Islam.

“Penerbitan bahan bacaan dan multimedia seperti buku, risalah, video, dan ‘podcast’ perlu diperbanyakkan untuk memberikan penjelasan yang mudah difahami mengenai Islam,” jelasnya.