Home Berita PAS Perlis

Definisi Ramadhan Yang Membentuk Peribadi

6432
SHARE

DEFINISI RAMADHAN YANG MEMBENTUK PERIBADI

Definisi puasa dari sudut bahasa, menahan diri. Manakala dari sudut syarak, menahan diri dari makan dan dahaga serta tidak melakukan sesuatu yang boleh membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Ruang lingkup makna Ramadhan menjadi semakin luas ketika dibincangkan dari sudut bahasa.

Ramadhan juga membawa maksud panas dan sangat terik. Hal ini kerana cuaca di Tanah Arab pada bulan tersebut kering dan iterik.
Disebalik perubahan cuaca itu, ia menjadi simbolik agar kepanasan tersebut diharap dapat membakar segala kekotoran doa orang-orang yang berpuasa dan beribadah di sepanjang bulan Ramadhan.

Beberapa hari lagi menuju Ramadhan, kemuliaan dan keberkatannya sangat ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam. Antara makna lain bagi bulan ini ialah :

Bulan Tarbiah Mendidik Kesabaran dan Ketaatan

Kata ulama, seandainya manusia mengetahui kebaikan-kebaikan bulan Ramadhan, mescaya mereka mengharapkan Ramadhan sepanjang tahun.

Ramadhan juga bukan sekadar bulan menahan diri lapar dan dahaga, ia adalah sebuah bulan diwajibkan untuk menahan diri dari melakukan segala perkara buruk dan mengawal emosi dari perkara yang mazmumah.

Bulan Ramadhan adalah bulan penuh keberkatan dan rahmat, satu bulan yang sangat dianjurkan untuk melentur jiwa agar lebih dekat dan taat kepada Allah.

Selain itu, bulan ini juga adalah satu peluang untuk umat Islam bermuhasabah diri dan melakukan refleksi diri dengan merenung kembali setiap amalan dan perkara yang telah dilakukan sepanjang kehidupan.

Proses ini akan menatijahkan usaha untuk memperbaiki diri dan kualiti amalan seharian sebagai hamba yang lemah dan sentiasa mengharapkan bantuanNya dalam menghadapi ujian dan dugaan mendatang.

Bulan Pengampunan Dosa

Allah SWT menjanjikan pengampinan segala dosa dan kebebasan dari api neraka untuk mereka yang berpuasa kerana keimananNya dan semata-mata untuk mengharapkan keredhaan Allah.

Sabda Nabi Muhammad SAW, jika datang bulan Ramadhan, pintu-pintu syurga akan dibuka, ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan akan dibelenggu. HR Bukhori dan Muslim.

Bahkan Allah SWT menyediakan sebuah pintu khusus untuk mereka yang berpuasa di Ramadhan di syurga kelak iaitu pintu Ar-Rayyan.

Seiring masa, usia manusia juga bertambah. Seiring bertambahnya usia, maka semakin dekatlah setiap yang bernyawa kepada kematian.

Ramadhan ini merupakan satu peluang keemasan untuk kita memohon keampunan atas setiap dosa yang telah dilakukan kepada Allah.

Sabda Rasulullah SAW, sesiapa yang menghidupkan Ramadhan dalam keadaanberiman dan ikhlas (kepada Allah), maka akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu. Hadis Riwayat Bukhori dan Muslim.

Bulan Seribu Rahmat

Kedatangan Ramadhan membawa rahmat dan keluasan maghfirah yang tidak terhingga untuk umat manusia. Di dalam bulan Ramadhan, terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Itulah malam Lailatul Qadar.

Satu malam yang menjadi buruan umat Islam untuk melakukan ibadah yang terbaik sepanjang Ramadhan.

Allah telah berfirman di dalam surah Al-Qadr ayat satu hingga tiga, “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam itu lebih baik dari seribu bulan.”

Malam Lailatul Qadar merupakan sebuah anugerah yang tidak ternilai daripada Allah kepada umat NabiMuhammad SAW. Maka, amatlah rugi sekiranya kita tidak bersungguh-sungguh merebutnya. Allah merahsiakan keberadaan malam ini agar umat islam sentiasa istiqamah dalam beribadah kepadaNya.

Atas limpahan barakah dan rahmat yang terhimpun di dalam bulan ini, maka umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan amalan dan meningkat ketaqwaan kepada Allah SWT sebagai bekalan akhirat serta kekuatan rohani menghadapi 11 bulan yang mendatang.

HAJAH LATIFAH MAT,
Ketua Muslimat PAS Negeri Perlis