Home Berita PAS Perak

Berita I Darul Ta’lim Komited Melahirkan Ulamak

1416
SHARE


Oleh: Ameerul Haq

LARUT: Pusat Pengajian Islam Darul Ta’lim telah menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul dan Pelancaran Dana dengan beberapa pengisian antaranya Kuliah Maghrib Perdana yang menampilkan Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, di sini, 29 November lalu.

Daurah Kitab Syamail Muhammadiah oleh Ustaz Naim Husn yang merupakan seorang tenaga pengajar pusat pengajian itu pada sebelah petang memberikan gambaran sifat serta akhlak Nabi Muhammad SAW.

Persembahan Qasidah oleh pelajar-pelajar dari sekolah tersebut membuktikan Islam tidak menghalang hiburan namun masih ada garis panduan untuk berhibur.

Program kemuncak dalam sambutan itu berjaya menarik perhatian masyarakat tempatan dengan penerangan penceramah jemputan, Ustaz Haslin Baharin di Forum Perdana bergandingan bersama Ustaz Naim Husin.

Darul Ta’lim telah ditubuhkan untuk melahirkan ulamak yang berjiwa haraki dengan penerapan akhlak Islami melalui beberapa ciri pengajian seperti pengajian kitab turath, pondok warga emas, sekolah menengah agama dan pengajian tahfiz.

Usaha tenaga pengajar dan pihak pengurusan Pusat Pengajian Islam Darul Ta’lim adalah satu tanggungjawab kepada masyarakat untuk melahirkan generasi ilmuwan Islam berkualiti.

Sambutan di Kampung Sungai Limau, Mukim Ijok, Selama itu turut dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria juga diberikan peluang menyampaikan taujihat perjuangan bersama hadirin.

“Segala proses pembangunan dan infrastruktur di pusat pengajian ini adalah hasil sumbangan orang ramai yang tidak pernah terputus.

“Sehingga kini kami masih memerlukan sumbangan bagi pembinaan pondok warga emas yang disasarkan sebanyak 100 buah disamping beberapa kemudahan lain kepada pelajar.

“Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang sentiasa memberikan bantuan dan sumbangan sama ada dari masyarakat setempat dan pihak luar,” ujar Ustaz Akmal Kamaruddin selaku Pengerusi Yayasan Darul Ta’lim.