Home Berita PAS Selangor

Dari Jendela Pesuruhjaya PAS Selangor | Dato Dr Ahmad Yunus Hairi – Perutusan Maal Hijrah 1422H

822
SHARE

Firman Allah SWT di dalam Al Quran, Surat Al-Anfal ayat 9-10 yang bermaksud :

“(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Dia perkenankan permohonan kamu (dengan firman-Nya): Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) daripada malaikat yang datang berturut-turut. Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya. Dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Maal Hijrah setiap tahun disambut dengan penuh kesyukuran dan keinsafan. Mensyukuri kerana masih dikurniakan umur dan menginsafi segala kekurangan di samping berazam untuk memperbaiki potensi diri di tahun baru hijrah dengan mengambil pengajaran peristiwa agung Rasulullah SAW untuk dijadikan panduan dalam setiap aspek kehidupan kita. Peristiwa agung itu juga wajar dijadikan pengajaran kepada sesiapa saja yang mahu berubah daripada kotak jiwa dan paradigma minda lama yang negatif kepada perubahan positif selari dengan tuntutan agama Islam.

Ibrah daripada peristiwa hijrah adalah kepentingan kasih sayang dan tolong menolong sesama Islam seperti kaum Muhajirin dan Ansar telah dapat membina kesepakatan umat Islam yang berjaya membangunkan Kota Madinah walaupun suasana masyarakat majmuk. Peristiwa hijrah juga menuntut umat Islam sentiasa meningkatkan ilmu agama di samping pelbagai disiplin ilmu yang lain terutamanya dalam bidang sains dan teknologi agar tidak ketinggalan dan mampu bersaing dengan
negara-negara yang lebih maju.

Selain itu umat Islam kini perlu melakukan penghijrahan minda dan jiwa kembali kepada nilai-nilai Islam yang syumul agar kita mampu ‘menjemput’ berkat serta pertolongan Allah SWT untuk kebaikan agama, bangsa dan negara setelah mutakhir ini kita melihat nilai keperibadian Islam semakin terhakis akibat ‘badai globalisasi’ yang mengakibatkan minda dan jiwa umat Islam dihanyutkan khayalan kononnya gaya hidup Islamik sudah tidak relevan dengan peredaran semasa.

Marilah kita bersama-sama berazam untuk meningkatkan keimanan diri serta meninggalkan sifat-
sifat mazmumah (negatif) yang menghalang kepada kemajuan diri, keluarga, organisasi dan Islam
selama ini. Semoga keazaman tersebut akan menjadikan kita insan berkualiti yang dapat merealisasikan tema sambutan Maal Hijrah tahun ini iaitu “UMMAH RABBANI NEGARA HARMONI” sepertimana yang pernah dicontohkan pada zaman Baginda Rasulullah SAW.

“SALAM MAAL HIJRAH 1422”

YB DATO’ DR AHMAD YUNUS BIN HAIRI
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor / Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Sijangkang

1 Muharam 1422H / 20 Ogos 2020

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan
#MediaPASSelangor