Home Berita Presiden

Dari Jendela Institut Jantung Negara (IJN)

1110
SHARE

DARI JENDELA INSTITUT JANTUNG NEGARA (IJN)

Oleh ABDUL HADI AWANG
Jumaat, 7 Ramadan 1438H/ 2 Jun 2017

Perasaan saya di ketika ini adalah penuh dengan kerinduan yang tidak terkira kepada keluarga dan sahabat – sahabat seperjuangan, walau pun fizikal sedang diganggu kesakitan dan ditahan di sini kerana rawatan yang diwajibkan.

Paling dirindui ialah Kuliah Dhuha Masjid Rusila (Marang, Terengganu) dan semua pelajarnya yang dimulakan sejak tahun 1976 kerana didesak oleh orang tua penduduk Kampung Rusila supaya menggantikan kuliah ayahanda (semoga mendapat rahmat dari Allah) yang baru meninggal dunia pada 1 Mei 1975. Saya juga sangat merindui berada di samping semua pemimpin PAS disemua peringkat termasuk rakyat jelata. Saya turut mengalami dan bersama dengan denyut kesusahan dan keperitan mereka khususnya di kalangan petani, nelayan dan pekerja rendah, serta belia menganggur yang sangat menekan perasaan saya.

Di masa menahan kesakitan, saya memilih untuk mendengar alunan bacaan al-Quran sebagai penawar jiwa yang lebih baik daripada ubat penahan sakit. Hal ini menambahkan lagi keyakinan saya bahawa sebenarnya al-Quran adalah Kitab Allah yang juga merupakan satu mukjizat ilmu.

Dalam perbincangan saya dengan pakar perubatan, bertambahlah keyakinan saya bahawa wajib digabungkan ilmu wahyu bersama ilmu perubatan moden ini yang juga kurniaan Allah.

Teringat saya dalam sirah Rasulullah apabila seorang sahabat R.A. menggunakan madu lebah kerana khasiatnya yang disebut di dalam al-Quran, tiba-tiba perutnya bertambah sakit, lalu dia berkata : Wahai Rasulullah !, perut saya bertambah sakit walau pun meminum madu mengikut al-Quran ?. Sabda Rasulullah SAW : Allah Maha Benar tetapi perutmu yang bohong (maksudnya dia memakan madu/ubat dalam kadar/ dos yang berlebihan).

Ianya memberikan kefahaman bahawa di sini wajibnya digabungkan ilmu wahyu bersama ilmu duniawi. Ringkasnya, apabila para ulama meninggalkan ilmu dunia ianya akan menjadi salah dan begitulah juga jika para ilmuan duniawi meninggalkan petunjuk al-Quran dan Rasul maka juga akan menjadi sesat.

Tegasnya tiada pemisahan dalam Islam di antara sains dan agama, bahkan semua urusan duniawi kerana Islam adalah satu cara hidup (way of life). Di sini kita menyaksikan pemimpin politik yang merasa dirinya bijak tanpa agama dan banyak salah lakunya, namun tidak bersedia bertaubat walaupun Allah membuka pintu taubat seluas-luasnya.

Saya cukup terharu dengan pandangan dari rakan taulan seperjuangan dari dalam dan luar negara yang bersedia saya dirawat di mana sahaja tempat terbaik di dunia dan ingin membantu segala perbelanjaanya. Namun saya membuat keputusan supaya dirawat di tanah air sendiri dan bergantung pada kepakaran yang ada dalam negara, kecuali kalau tidak adanya kepakaran dalam bidang tertentu seperti yang berlaku terhadap al-marhum Dr Haron Din yang dengan berat hati terpaksa memilih untuk mendapatkan rawatan di Amerika Syarikat setelah mendapat pandangan daripada IJN sendiri.

Dalam mendapatkan rawatan kali ini, IJN menjadi pilihan saya, kerana bak kata pepatah hujan batu di negeri sendiri tidak sama dengan hujan emas di negara lain. Untuk menjalankan pembedahan yang saya alami, IJN telah menubuhkan pasukan terbaik yang diketuai oleh Dato’ Seri Dr Mohd Azhari Yakub, Dato’ Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon, Dato Dr Suhaini Kadiman, Dato Dr Rosli, Datuk Dr Mohd Nasir Muda, Dato’ Dr Suneta, Dato N. Thiru Kumar, Datuk Dr Ghazali Ahmad dari Hospital Kuala Lumpur, serta yang tidak berkesempatan saya sebutkan nama mereka, dan semua staff sokongan disetiap setiap unit yang turut sama dalam pembedahan dan rawatan saya. Saya amat terharu dengan khidmat cemerlang semua pihak ini disetiap masa dan ketika. Khidmat professional sepanjang dalam sejarahnya jugalah yang membolehkan IJN disenaraikan ke peringkat antarabangsa sebagai tempat terulung dalam bidangnya.

Saya sepenuhnya mengucapkan terima kasih kepada semua, semoga Allah SWT jualah yang membalas pahala dan fadhilat daripada niat yang ikhlas itu. Semoga Allah SWT sahaja yang memberi ganjaran kepada semua.

ABDUL HADI AWANG

IJN, Kuala Lumpur.
Jumaat, 7 Ramadan 1438H/ 2 Jun 2017