Home Berita PAS Terengganu

DAP Celupar; Di mana pemimpin melayu islam yang berani?

14
SHARE

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) kesal dengan sikap sesetengah pemimpin Melayu-Islam dalam pakatan PH-BN yang sekadar berdiam diri ketika sebahagian pemimpin DAP berterusan mengeluarkan kenyataan provokasi dan boleh membawa kepada porak peranda dalam masyarakat.

Apakah pemimpin Melayu-Islam dalam pakatan PH-BN sudah diikat mulut mereka sehingga tiada dalam kalangan mereka yang lantang menyanggah pandangan kontroversi sebahagian pemimpin DAP?

Cadangan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham baru-baru ini untuk lantikan bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-undang Islam bukan sahaja tidak berasas, bahkan bersifat provokatif.

Malah pendirian Ngeh Koo Ham itu juga turut dibidas oleh KDYMM Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Sebelum ini, veteran DAP, Lim Kit Siang juga mengeluarkan kenyataan provokatif mengenai cadangan lantikan bukan Islam sebagai Perdana Menteri. Satu demi satu tindakan provokasi DAP melalui kenyataan-kenyataan yang berkait rapat dengan isu-isu teras dalam negara dikeluarkan oleh pemimpin utama mereka.

Ironinya, tidak terserlah ketegasan pemimpin Melayu dalam pakatan PH-BN dalam menegur kelancangan DAP. Apakah mereka sudah hilang taringnya apabila berada di tampuk pemerintahan? Seharusnya mereka tegas dalam soal ini.

DUPP menegaskan bahawa gesaan supaya pemimpin Melayu pakatan PHBN berani bersuara ini bukan bermaksud kita perlu bermain ‘race-card’ dalam isu ini, tetapi kita perlu sedar siapa sebenarnya pemecah-belah perpaduan negara selama ini.

Jangan biarkan fabrik sosial dalam masyarakat pelbagai kaum dalam negara ini terus dicarik-carik oleh sesetengah golongan yang bersifat cauvinis dan ekstrim.

Sekian.

YB USTAZ DATO’ HAJI AHMAD BIN YAHAYA,
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

17 JAMADIL AKHIR 1445 HIJRI | 30 DISEMBER 2023 MILADI