Home Kenyataan Media PAS Pulau Pinang

COVID-19: Terus Patuhi SOP

94
SHARE

COVID-19: Mohon Pertolongan Allah SWT, Terus Patuhi SOP

Seruan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Peningkatan kes Covid-19 di Malaysia semakin membimbangkan. Angka yang didedahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menampakkan trend penurunan. Ditambah pula dengan penemuan virus mutasi Covid-19 baru dari India yang memasuki negara kita.

Kita juga telah berikhtiar melalui siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan kerajaan, mengikuti Standard Operating Procedure (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan program vaksinisasi yang sedang berjalan. Segala usha yang termampu telah kita jalankan untuk membendung wabak ini.

Maka sudah sampai masa dan ketikanya, kita perlu meletakkan segala ikhtiar kita ini dengan  pengharapan agar Allah S.W.T mengangkat bala yang menimpa kita ini. Sudah tiba masanya kita kembali meletakkan pengharapan penuh kepadaNya

Oleh itu, Lajnah Dakwah dan Perpaduan Nasional, Dewan Pemuda Pas Negeri Pulau Pinang dengan ini  mengarahkan agar setiap ahli pemuda PAS khususnya di Pulau Pinang untuk melaksanakan solat hajat secara individu ataupun dibuat secara berjemaah. Lajnah Dakwah di kawasan masing-masing boleh menggerakkan ahli ahli untuk mengadakan majlis bacaan yasin serta solat hajat khususnya untuk menangani isu Covid ini.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, bersempena dengan keberadaan kita pada 10 hari terakhir Ramadhan, saya ingin menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar sama-sama kita melaksanakan bacaan yasin serta mendirikan solat hajat selepas menunaikan solat terawih sama ada di masjid, musollah, surau, sekolah, di rumah masing masing dan lain lain tempat memohon kepada Allah S.W.T agar mengangkat musibah Covid-19 yang semakin buruk dalam negara kita ini.

Semoga usaha ini dapat mengeluarkan kita daripada ujian malapetaka Covid-19 yang berterusan di negara kita.

ALLAH S.W.T YANG MENDATANGKAN UJIAN, DIA LAH JUA YANG AKAN MENGANGKATNYA.

MEMIMPIN NEGARA

Ustaz Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan
Lajnah Dakwah Dan Perpaduan Nasional
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang