Home Minda Presiden

#COVIDー19: Mengapa Mencegah Dan Merawat?

1257
SHARE


Minda Presiden PAS

COVID-19: MENGAPA MENCEGAH DAN MERAWAT?


Firman Allah S.W.T:

﴿قُل لَّن يُصِيبَنَآ إِلَّا مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَنَا هُوَ مَوۡلَىٰنَاۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلۡيَتَوَكَّلِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ٥١﴾ (التوبة: 51)

“Katakanlah (wahai Muhammad S.A.W): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.” (Surah At-Tawbah: 51)

Ada dari kalangan manusia yang mengaku Islam dan merasakan kuat Islam berdalilkan ayat ini dengan bertawakal kepada Allah SWT tanpa ikhtiar dan usaha dalam menghadapi bencana termasuk wabak Covid-19 yang sedang berlaku sekarang. Mereka tidak membaca keseluruhan Al-Quran dan tafsirnya serta sebab turun ayat, supaya menjadi pengajaran dan petunjuk.

Sebab turun ayat ini supaya dibaca oleh umat Islam kepada orang-orang munafik yang mengejek umat Islam apabila ditimpa bencana.

Selain itu, banyak lagi ayat-ayat lain dalam Al-Quran memerintahkan akan kewajipan bagi orang yang beriman bertawakal dengan berusaha dan berikhtiar menggunakan akal dan kebijaksanaan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia yang menjadi hambaNya, bukannya meletakkan kewajipannya kepada Allah SWT.

Di antaranya, firman Allah SWT kepada orang-orang yang beriman:

﴿وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ٦٠﴾ (الأنفال: 60)

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap bersedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (Surah Al-Anfal: 60)

Ayat ini pula memerintahkan supaya umat Islam menyediakan kekuatan dengan sepenuh kemampuan harta dan jiwa raga bagi mempertahankan agama dan dirinya, menunjukkan bahawa bukanlah makna bertawakal itu menyerah kepada Allah SWT tanpa ikhtiar dan usaha melalui kurniaan Allah SWT dengan nikmat akal, diri dan harta yang diberikan oleh Allah SWT. Inilah sifat seorang hamba Allah SWT yang sebenarnya beriman.

Dalam ayat yang lain, Allah SWT memberikan amaran keras terhadap mereka yang bakhil dalam menyumbang melalui firmanNya:

﴿وَأَنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ وَأَحۡسِنُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ١٩٥﴾ (البقرة: 195)

“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah Al-Baqarah: 195)

Allah SWT menyatakan bahawa mereka yang tidak menyumbang hartanya kerana mempertahankan agamaNya adalah membinasakan dirinya sendiri.
Allah SWT berfirman kepada Saidatina Maryam A.S:

﴿وَهُزِّيٓ إِلَيۡكِ بِجِذۡعِ ٱلنَّخۡلَةِ تُسَٰقِطۡ عَلَيۡكِ رُطَبٗا جَنِيّٗا٢٥﴾ (مريم: 25)

“Dan goncanglah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.” (Surah Maryam: 25)

Bukannya tunggu disuap ke mulut tanpa usaha sedikit pun walaupun berada dalam kesakitan melahirkan puteranya Isa A.S.

Betapa luasnya lapangan petunjuk Al-Quran itu dinyatakan oleh firman Allah S.W.T:

﴿وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلۡقُرۡءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٞ وَرَحۡمَةٞ لِّلۡمُؤۡمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارٗا٨٢﴾ (الإسراء: 82)

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadaNya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Surah Al-Isra’: 82)

Seterusnya ayat ini ditafsirkan oleh ayat-ayat lain seperti menghuraikan perkara halal dan haram, serta tidak melampau dalam makanan, minuman, pakaian dan lain-lain. Ditafsirkan juga oleh Hadis Rasulullah SAW, para ulama’ sahabat dan tabiin yang mendalami ilmu Al-Quran dari segi bahasa dan kaedah hukum dalam segala aspek kehidupan manusia.

Para ulama’ juga telah mengumpulkan secara khusus dalam ilmu perubatan, di antaranya Kitab At-Tibb An-Nabawi mengandungi kumpulan hadis yang berkaitan dengan ilmu perubatan secara khusus daripada Rasulullah SAW.

Apabila seorang sahabat di zaman Rasulullah SAW salah beramal dengan firman Allah SWT:

﴿وَأَوۡحَىٰ رَبُّكَ إِلَى ٱلنَّحۡلِ أَنِ ٱتَّخِذِي مِنَ ٱلۡجِبَالِ بُيُوتٗا وَمِنَ ٱلشَّجَرِ وَمِمَّا يَعۡرِشُونَ٦٨ ثُمَّ كُلِي مِن كُلِّ ٱلثَّمَرَٰتِ فَٱسۡلُكِي سُبُلَ رَبِّكِ ذُلُلٗاۚ يَخۡرُجُ مِنۢ بُطُونِهَا شَرَابٞ مُّخۡتَلِفٌ أَلۡوَٰنُهُۥ فِيهِ شِفَآءٞ لِّلنَّاسِۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَةٗ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ٦٩﴾ (النحل: 68-69)

“Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. (68); Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu”. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari pelbagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir. (69)” (Surah An-Nahl: 68-69)

Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan bahawa ada seorang sahabat menasihatkan rakannya yang mengalami sakit cirit-birit supaya minum madu lebah berpandukan ayat tersebut, tiba-tiba bertambah cirit-birit, lalu dia mengadu kepada Rasulullah SAW, maka Baginda SAW menyuruhnya supaya minum lagi, namun tidak juga sembuh, lalu Rasulullah S.A.W bersabda supaya mengulanginya dan bersabda: “Firman Allah itu benar, tetapi perut kawan kamu yang bohong”. Akhirnya selepas itu didapati dia sembuh. Para ulama’ mentafsirkannya disebabkan dia tidak mengikut sukatan atau dos dari segi ilmu perubatan.

Maka para ulama’ menegaskan bahawa ilmu perubatan itu adalah salah satu fardu kifayah yang diwajibkan kepada umat Islam dalam semua perkara yang berkait dengan keperluan hidup manusia, bukan sahaja sembahyang jenazah mengikut fahaman kebanyakan orang yang jahil.

Islam mewajibkan manusia menjaga dirinya, termasuk nyawa, jasad, keluarga dan harta serta mengharamkan perkara yang memudaratkan diri, keluarga dan masyarakat. Sabda Rasulullah S.A.W:

لا ضرَرَ ولا ضِرارَ )حديث حسن رواه ابن ماجه والدارقطني ومالك وغيرهم).

“Tidak boleh (haram) melakukan mudarat terhadap diri sendiri dan orang lain.” (Hadis Hasan riwayat Ibnu Majah, Ad-Daraquthni, Malik dan lain-lain)

Khusus dalam perkara wabak taun dan lain-lain seperti Covid-19 ditegaskan oleh Hadis Rasulullah S.A.W:

وعن أسامة بن زيد عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: إذا سَمِعْتُمْ بالطَّاعُونِ بأَرْضٍ فلا تَدْخُلُوها، وإذا وقَعَ بأَرْضٍ وأَنْتُمْ بها فلا تَخْرُجُوا مِنْها. (متفق عليه)

“Dari Usamah bin Zaid R.A dari Nabi S.A.W: “Apabila kamu mendengar berlakunya wabak taun di suatu negeri, maka janganlah kamu memasukinya, dan apabila berlaku dalam negeri kamu berada di dalamnya maka jangan kamu keluar.” (Muttafaqun ‘Alaih)

Islam mengharamkan membunuh diri sendiri dan memudaratkan orang lain. Maka mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah menegaskan wajib bertawakal kepada Allah SWT yang disertakan dengan usaha dan ikhtiar daripada manusia. Adapun pendapat bertawakal kepada Allah SWT tanpa usaha dan ikhtiar adalah Mazhab Jabariah yang sesat.

Setiap orang Islam wajib beriman dengan semua ayat Al-Quran bukan dengan cara mengambil satu ayat dan meninggalkan ayat yang lain.

Allah SWT memberikan amaran kepada orang Yahudi, Ahli Kitab yang bertindak demikian:

﴿ أَفَتُؤۡمِنُونَ بِبَعۡضِ ٱلۡكِتَٰبِ وَتَكۡفُرُونَ بِبَعۡضٖۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفۡعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمۡ إِلَّا خِزۡيٞ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلۡعَذَابِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ٨٥﴾ (البقرة: 185)

“Maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada Hari Kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sesekali lalai akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Baqarah: 185)

Ayat ini juga memberi amaran kepada umat Islam yang mengambil sebahagian daripada Al-Quran dan meninggalkan sebahagian yang lain.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 22 Rajab 1440 / 17 Mac 2020