Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Coretan : Perang COVID-19, di manakah kita ?

1459
SHARE

Coretan : Perang COVID-19, di manakah kita ?

Assalamualaikum wrt wbt dan Salam Sejahtera,

Mengimbas kembali, terlalu banyak perubahan yang telah kita lalui sejak kes pertama jangkitan 2019-nCoV dilaporkan pada 31 Disember 2019 di Wuhan, China. Ianya terus menular dengan begitu pantas sehingga memaksa pihak WHO mengisytiharkan wabak ini sebagai darurat kesihatan sedunia sebulan selepas itu, iaitu pada 30 Januari 2020. 11 Februari 2020 menyaksikan pengumuman nama baru virus ini sebagai COVID-19 (Coronavirus Disease 2019).

Sebulan selepas pemberian nama baru virus ini, pihak WHO mengisytiharkan pula wabak ini sebagai pandemik, iaitu pada 11 Mac 2020. Sehingga hari ini, sejumlah 2.34 juta kes dicatatkan di seluruh dunia, dengan jumlah kematian sebanyak 161,330 di serata dunia.

Negara kita Malaysia tidak terkecuali daripada terkesan dengan wabak ini. Sehingga 19 April 2020, sejumlah 5389 kes COVID-19 positif dicatatkan di seluruh negara, dengan jumlah kematian seramai 89 orang. Perkembangan positif di negara kita juga menyaksikan jumlah kes sembuh yang semakin meningkat, iaitu sebanyak 3197 kes (kadar kesembuhan setinggi 59.32%).

COVID-19 sesungguhnya telah banyak merubah hidup kita. Fasa demi fasa kita lalui, bermulanya Fasa Pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020, sehingga memasuki Fasa Ketiga PKP pada 15 April 2020.

Permulaan menghadapi perubahan kehidupan ini, kita mungkin tidak lari dari menghadapi rasa takut mahupun cemas. Adakalanya kita dengan tidak sengaja menyebarkan emosi negatif seperti marah, ataupun menyebarkan apa sahaja berita negatif, mahupun rungutan-rungutan tentang PKP kepada sesiapa sahaja yang melintas di dinding media sosial kita.

Namun begitu, melalui episod demi episod seterusnya, kita mungkin mulai menyedari akan hakikat yang sedang berlaku, bahawa setiap daripada kita sedang berusaha sebaiknya dalam menghadapi wabak ini.

Kita mulai memikirkan bagaimana kita dapat memainkan peranan yang lebih baik untuk sama-sama menangani permasalahan ini, malah kita juga mulai menyelidiki serta menilai setiap berita yang kita terima sebelum menyebarkannya.

Memasuki fasa matang dalam menghadapi wabak COVID-19 ini, kita mencari jalan positif serta kreatif bagaimana menyesuaikan diri dengan perubahan baru ini. Kita mengamalkan sikap sabar serta menghargai orang-orang di sekeliling kita. Kita menyemaikan perdamaian, pengharapan, kesyukuran.

Kita bersikap empati terhadap diri kita, keluarga, jiran serta semua orang di sekeliling kita. Kita lalui kehidupan penuh realiti, serta fokus kepada masa hadapan. Kita menggunakan bakat yang ada pada kita agar dapat dimanfaatkan oleh mereka yang benar-benar memerlukannya.

Satu contoh terbaik bagaimana bakat yang ada pada diri, dimanfaatkan untuk kegunaan mereka yang benar-benar memerlukannya, adalah bakat menjahit yang digunakan untuk menghasilkan PPE. Para penjahit di seluruh negara telah berpadu tenaga menyumbangkan bakat serta kemahiran yang ada pada mereka, untuk dimanfaatkan oleh para petugas barisan hadapan. Umum mengetahui bahawa penggunaan ‘Personal Protective Equipment’ (PPE) telah meningkat dengan begitu mendadak di seluruh negara, malah di seluruh dunia, ekoran wabak COVID-19.

Sumbangan tenaga sukarela para penjahit PPE ini, sungguh mengharukan. Ia ibarat menjahit ‘baju perang’ petugas barisan hadapan yang dapat melindungi mereka daripada ‘tercedera’, seterusnya membantu mereka dalam mencapai kemenangan terhadap COVID-19.

Jabatan MusMedik (Muslimat Medical Team) Dewan Muslimat PAS Malaysia, sebagai salah satu daripada komponen barisan hadapan menangani COVID-19, dengan ini mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih buat seluruh rakyat Malaysia yang telah memberikan sokongan padu buat para petugas barisan hadapan. Sesungguhnya anda semua telah memasuki fasa matang di dalam menghadapi wabak COVID-19 ini. Teruskanlah apa sahaja perkara positif yang sedang anda lakukan buat menyokong kami pada tika dan saat ini.

Semoga seluruh rakyat Malaysia dilimpahi rahmat Allah swt Ramadhan kali ini, asbab kesabaran, kecekalan, ketabahan, serta bantuan tanpa putus kepada para petugas barisan hadapan.

Semoga kemenangan milik kita semua, di dunia, serta di akhirat. Ameen Ya Rabbal ‘Alamin.

Seeru ‘ala barakatiLLah.

#kitajagakita
#kitamestimenang

Dr. Reen Mohd. Amin
Pengarah
Jabatan Muslimat Medical Team
Dewan Muslimat PAS Malaysia

20 April 2020
26 Sha’ban 1441H