Home Berita PAS Negeri Sembilan

Cikgu Rafiei tekad tawan DUN Pilah

76
SHARE

Oleh NAZIRUL MUNIR

KUALA PILAH , 29 Jul : Calon Perikatan Nasional N18 Pilah, Rafiei Mustapha tekad untuk menawan DUN Pilah setelah kertas penamaannya diterima pagi ini.

Perkara ini diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN N18 Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap, selepas selesai proses penamaan calon pada kira-kira jam 10.22 pagi, yang berlangsung di Dewan Dato’ Bahaman Shamsudin di sini hari ini.

Selain Rafiei yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional bakal menentang calon daripada Pakatan Harapan (PKR), Nur Zunita Begum.

Kerusi Pilah sebelum ini telah dimenangi oleh Mohamad Nazaruddin Sabtu daripada PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lepas dengan memperolehi 5,643 undi menewaskan calon BN, Dato’ Norhayati Omar (3,837 undi) dan calon PAS, Haji Fadzil (1,413 undi) dengan majoriti sebanyak 1,806 undi.

Sebelum ini, Negeri Sembilan telah melalui Pilihanraya Umum ke-14 pada Mei 2018 yang lalu dan Pakatan Harapan mendapat 20 kerusi, Barisan Nasional (16), manakala PAS tidak memenangi sebarang kerusi dari 27 kerusi yang ditandingi.

PRN Negeri Sembilan diadakan setelah berlaku pembubaran DUN oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun setelah diperkenankan oleh Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Pembubaran DUN telah diumumkan pada 1 Julai lepas.

Tarikh penamaan calon bagi Pilihanraya Negeri ditetapkan pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos dan tarikh keluar mengundi pada 12 Ogos.