Home Berita PAS Melaka

Cerpen sempena Hari Bapa : “Kereta Buruk Ayah”

2218
SHARE

Nukilan IBNU JANIE

HARI itu Hilman pulang ke kampungnya dari Kuala Lumpur. Biasanya dia hanya menaiki bas ekspres. Dan sampai di pekan berhampiran dia akan mengambil grab pulang ke kampungnya.

Kali ini Hilman pulang dengan memandu keretanya sendiri. Dia baru beli kereta itu. Selepas hampir setahun bekerja akhirnya dia dapat juga membeli kereta itu. Dia mahu tunjukkan kereta itu pada orang tuanya di kampung.

Gambar hiasan | Kredit : Google

Sebenarnya dia mahu melupakan kenangan pahit di zaman sekolahnya dulu.

Hilman ingat lagi, masa itu dia masih di sekolah rendah dalam darjah lima. Hari itu ayahnya, Harun, membawa pulang sebuah kereta yang baru dibeli oleh ayahnya itu. Memang kereta itu baru dibeli, tapi bukan kereta baharu, ia hanya sebuah kereta buruk.

Kebetulan pula ayah jiran sebelah rumah di kampungnya itu juga baru sahaja membeli sebuah kereta seminggu sebelum itu. Tapi kereta mereka kereta baharu. Cantik. Tidak seperti kereta yang baru dibeli ayahnya, buruk dan compang camping.

“Apa kereta yang ayah kau beli tu Man? Macam nak roboh je? Tentu dalam kereta tu bau busuk kan? Hahahaha…” Begitulah sindiran Afiq, jiran dan kawan sekolahnya itu.

Berdesing telinga Hilman mendengar sindiran rakannya itu.

“Mak! Kenapa ayah beli kereta buruk tu? Kenapa ayah tak beli kereta macam ayah Afiq tu?” keluh Hilman kepada ibunya, Murni, yang sedang melipat baju di ruang tamu rumah pusaka peninggalan neneknya itu.

“Man… Afiq tu ayah dia banyak duit. Ayah dia pegawai bank. Gaji ayah dia besar. Bolehlah beli kereta macam tu. Kita ni orang susah nak. Ayah kerja buruh je. Itu je yang kita termampu.”

Hilman hanya diam. Jawapan ibunya itu tidak dapat meredakan hatinya. Dia belum dapat memahami apa sebenarnya yang dikatakan ketentuan dan takdir.


Semuanya tidak habis di situ. Hari pertama ayahnya menghantarnya ke sekolah menaiki kereta buruk itu, sudah menjadi mimpi ngeri pada Hilman.

Kereta buruk ayahnya itu mati enjin dan sukar dihidupkan. Beberapa orang lelaki yang merupakan bapa kepada beberapa orang rakan sekolahnya membantu ayahnya menolak kereta buruk itu untuk menghidupkan semula enjinnya.

Gambar hiasan | Kredit : Google

Panas telinga Hilman bila rakan-rakannya itu mengejek-ngejeknya atas kejadian itu.

“Hei, Man… Buang lombong jelah kereta ayah kau tu Man. Hahaha!” Kata Zikri.

“Entah! Menyusahkan bapak aku je kena tolong tolak! Hahaha.” sahut rakannya Haris.

Hilman hanya diam dan berlalu. Dia mengetap bibirnya kerana geram! ‘Mengapalah ayah beli kereta buruk tu!’ jerit hatinya.

Bukan itu sahaja. Macam-macam peristiwa dia lalui bersama dengan kereta buruk ayahnya itu. Semuanya memalukan Hilman.


Suatu petang ketika ayahnya mengambilnya dari sekolah kereta buruk itu buat hal lagi. Kali ini ekzosnya patah. Setelah mengikat ekzos itu dengan dawai ayah Hilman terus memandu semula kereta itu untuk pulang.

Waktu itu Hilman rasa sangat malu. Bunyi enjin kereta buruk ayahnya itu pada masa itu tak ubah seperti bunyi enjin motobot. Bunyinya membobok sangat kuat akibat dari ekzos yang telah patah.

Di dalam kereta muka Hilman naik biru! Dia buat-buat tak nampak kawan-kawannya di tepi jalan yang sedang mentertawakannya! Rasanya seperti dia mahu menyorok di tempat letak kaki kereta itu kerana malu!

Sampai di rumah Hilman terus mencampakkan beg sekolahnya di atas kerusi.

“Mak! Man tak sukalah!”

“Kenapa ni Man?”

“Ayah tu! Man malu tau! Tadi kereta buruk ayah tu patah ekzos. Bising! Semua kawan-kawan Man ketawakan Man tau!”

“Allahuakbar Hilman sayang… Sabarlah nak. Biarlah diorang nak ketawa pun.”

“Hilman nak naik bas sekolah jelah!”

“Kenapa nak naik bas sekolah? Kan ayah nak pergi kerja ke bengkelnya tu lalu depan sekolah Hilman? Eloklah ayah bawa Man sekali ke sekolah masa dia nak pergi kerja, kan? Kalau Man naik bas sekolah nanti nak bayar duit bas lagi.”

“Man bencilah! Malu tau! Kawan-kawan asyik ketawakan Man!”

“Sabarlah nak… Kita ni kan orang susah. Apa boleh buat Man.”

“Eeiii!!! Siapalah suruh ayah beli kereta buruk tu!!” kata Hilman keras.

Dia tidak sedar bahawa ayahnya ada tidak jauh dari situ dan mendengar semuanya.

“Eh, abang nak makan? Makan tengahari dah siap ni.” Kata Murni, ibu Hilman apabila melihat suaminya itu tiba-tiba muncul.

Namun ayah Hilman tidak membalas. Dia terus meninggalkan Hilman dan ibunya. Harun mengambil kunci motornya dan terus meninggalkan rumah.

“Hilman! Mesti ayah dengar apa yang kau cakap tadi! Tengok! Mesti ayah dah kecil hati! Ayah belum makan lagi, dia terus keluar tu!”

“Biarlah! Biar ayah kecil hati! Hati Man ni lagi sakit bila kena ejek dengan kawan-kawan!”

“Hilman!!!” Jerkah ibunya. Hilman terkejut.

“Kau tahu tak kenapa ayah kau beli kereta buruk tu??!” Sambung ibunya lagi.

Hilman diam.

“Kau ingat lagi bulan lepas??! Masa tu ayah kau bawa kau balik dari sekolah naik motosikal. Masa tu hujan lebat. Lepas tu kau demam panas sebab kena hujan? Ingat tak?”

Hilman hanya mengangguk.

“Ayah kau sedih sangat fasal kejadian tu. Dia menangis depan mak bila mengenangkan apa yang terjadi pada kau masa tu.”

“Ayah menangis?” Hilman mula bersuara. Sepanjang hidupnya dari kecil dia tidak pernah melihat ayahnya menangis.

“Ayah tidak akan tunjuk kasih sayang dia depan kamu semua. Tapi dalam hidupnya sentiasa memikirkan untuk membahagiakan anak-anaknya.” Kata ibunya lagi sambil memandang tepat ke arah Hilman yang masih duduk di kerusi meja makan.

“Ayah kau beli kereta tu dari kawan dia. Kawan dia benarkan dia bayar ansur-ansur tiap-tiap bulan. Untuk kau Man… Kau nampak? Bila dia pergi kerja semula lepas makan tengahari ni selalu dia naik motor je. Sebab kereta tu untuk bawa kau je. Kalau kau tak suka pun janganlah kau hina kereta ayah kau tu!”

Tiba-tiba terdengar laungan dari luar.

“Kak Murni! Kak Murni!”

Murni berlari ke pintu depan.

“Eh, Zaki… kenapa Zaki?”

Di luar rumah, Zaki, seorang jirannya sedang berdiri tercungap-cungap.

“Kak Murni, saya nak bagitahu ni abang Harun eksiden. Dekat simpang tiga hujung kampung!” Kata Zaki.

“Ya Allah! Man! Ayah kau eksiden!” jerit Murni kepada anaknya.

“Kenapa dengan ayah mak?!!! Kenapa dengan ayah??!”

“Man ayah kau eksiden!!” Kata Murni tergesa-gesa masuk ke dalam bilik mengambil tudungnya.

“Hah??!! Ayah selamatkan mak?? Ayah tak apa-apakan??”

“Cepat Man! Kita pergi tengok ayah!”

“Mak… Ayah tak apa-apa kan? Mak Man nak mintak ampun dekat ayah mak!!”


Peristiwa hitam itu masih bermain di fikirannya. Lamunannya terhenti apabila dia sampai di depan rumah orang tuanya di kampung. Masuk sahaja di perkarangan rumah Hilman terus membunyikan hon.

Seorang wanita tua keluar dari rumah. Wajahnya mengukirkan senyuman paling bahagia melihat anaknya itu pulang.

Hilman keluar dari kereta dan terus mendapatkan ibunya itu.

“Ini kereta yang kau cakap tu Man?”

“Iya mak. Cantik tak?”

“Eh, cantiklah. Kereta baharu”. Kata ibunya sambil tersenyum gembira. Hakikatnya kegembiraan ibunya itu apabila melihat Hilman gembira dengan apa yang telah dia capai selama ini.

Sedang Hilman sibuk berbual dengan ibunya itu satu suara menegurnya.

“Man… Lama sampai?” suara tua itu cukup dikenalinya. Suara yang sangat dirinduinya. Wajahnya mengukirkan senyum.

“Eh, ayah. Man baru je sampai ayah. Ayah apa khabar?” Hilman terus mendapatkan ayahnya itu. Dia bersalaman dan tangan tua ayahnya itu dikucup dengan penuh hormat.

“Ayah macam ni lah. Duduk rumah je lah. Dah kau orang semua tak bagi ayah kerja lagi.”

“Ye lah, saya, kakak, abang-abang semua dah kerja. Boleh tanggung ayah, buat apa ayah nak kerja lagi,” kata Hilman.

“Eh, tengok lah tu, kereta baharu anak awak tu. Hehehe…” Ibu Hilman mencelah sambil tanganya menunjuk ke arah keretanya yang diletakkan di halaman rumahnya.

“Baguslah. Dah ada kereta ni senanglah kau nak pergi kerja.”

“Tu lah ayah… Tapi saya bukan beli kereta ni nak bawa pergi kerja ayah.”

“Habis tu? Buat apa beli kereta kalau tak bawa pergi kerja?”

“Saya beli kereta ni bukan untuk saya pakai.”

“Habis tu, siapa yang nak pakai? Kucing?”

“Saya beli kereta ni untuk ayah “

“Ish! Nak buat apa? Ayah dah tua Man. Tak sajak bawa kereta ni. Lagi pun duduk kampung je.”

“Saya tak main-main ni ayah. Memang saya beli kereta ni untuk ayah.”

“Eh, tak payahlah Man.”

“Tak… Kereta ni memang untuk ayah. Saya ni anak. Mana boleh kereta anak lagi cantik dari kereta ayah. Hehehe… Tak tergamak saya nak pakai kereta yang cantik dan selesa sedangkan ayah pakai kereta yang buruk. Sepatutnya saya memuliakan ayah dan memberikan keselesaan untuk ayah.”

“Hilman ni. Macam-macamlah. Habis tu, kau dah bagi ayah pakai kereta ni, kau nak pakai apa?”

“Saya nak pakai kereta buruk ayah tu.”

“Ish… Kau tu peguam. Takkan nak pakai kereta buruk ayah tu?”

“Iya ayah. Apa salahnya peguam pakai kereta buruk? Hehehe… Nanti saya repair balik cantik-cantik.” Kata Hilman tertawa kecil. Dia menyembunyikan rasa sebaknya.

Dia dapat melihat bola mata ayahnya yang berkaca. Dia cuba ketawa lagi untuk menceriakan suasana. Dia tidak mahu melihat ayahnya menangis. Ayahnya terus memeluk Hilman. Kali ini Hilman sendiri tidak dapat menahan air matanya dari mengalir laju.

“Maafkan Man masa kecil-kecil dulu ayah.”

“Ayah dah lama maafkan. Ayah tahu Man anak yang baik.”

Kali ini hati Hilman puas. Dia dapat berbakti pada ayahnya. Semenjak peristiwa dia membentak ibunya tentang kereta buruk ayahnya itu sehingga peristiwa ayahnya kemalangan, dia telah berjanji satu hari nanti dia akan membelikan kereta baharu untuk ayahnya bila dia sudah bekerja nanti.

Dan kereta buruk ayahnya dia akan pakai. Dia mahu rasakan sendiri susah payah menggunakan kereta buruk itu seperti yang ayahnya telah rasai selama ini. Semoga ia akan mencuci segala rasa bersalahnya pada ayah semasa kecil dulu….

Dia tahu ayahnya bukan sebarangan ayah. Dialah ayah yang banyak berkorban untuk dirinya. Betul kata orang, seorang ayah memang tidak tahu menunjukkan kasih sayangnya, tapi jauh di sudut hatinya hanyalah anak-anaknya penawar dan jantung hatinya. Hanya untuk anak-anaknya dia korbankan segalanya.

Dialah wali keramat yang diturunkan tuhan buat insan bernama anak. Dialah raja berdaulat di negara kecil yang dipanggil rumah tangga. Dialah junjungan untuk disanjung dan dimuliakan oleh makhluk bergelar anak. Dialah idola dan pemimpin teragung dalam hidup seorang anak.

Terima kasih ayah kerana menyediakan kereta buruk ini dahulu yang melindungi anakmu dari terik matahari, dari basahnya hujan, dari percikan air kotor dari lopak air di jalan raya… Kereta buruk inilah yang membawa aku ke klinik bila aku sakit. Kereta buruk inilah yang menghantar aku ke sekolah setiap hari sehingga aku berjaya ke menara gading…Ia lebih bermakna dari sebuah Bantley mewah yang menjalar di jalan raya….

Penulis adalah Editor Harakah, Ketua Editor (Pusat Berita PAS), Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka

(Cerita dan watak di dalam cerpen ini adalah rekaan semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau telah mati. Jika ada hanya kebetulan semata-mata)

Cerpen ini juga tersiar di Harakah cetak pada 29 Jun 2020