KEPALA BATAS: PAS berada di tengah masyarakat dengan memberi penerangan dan memperjuangkan serta menyelesaikan hal ehwal kehidupan ke arah menyelamatkan umat manusia dengan Islam.
Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusof berkata, sebaliknya pula muncul dari pemerintahan yang ada kini bermacam kemelut dan kezaliman ke atas kehidupan.
Perkara tersebut dibentangkan beliau ketika berucap pada Ceramah Malaysia Sejahtera anjuran Jabatan Pilihan Raya PAS Pulau Pinang di Markas Tarbiyah PAS Negeri, Pongsu Seribu, di sini kelmarin.
Beliau membangkitkan beberapa isu semasa yang timbul di negeri ini antaranya kebenaran tayangan ‘Sex In George Town’ di mana mempromosikan gaya hidup songsang kononnya atas nama Hak Asasi Manusia (HAM).
Namun bidasnya, atas perjuangan HAM yang dilaungkan selama ini, Kerajaan PH Pulau Pinang menindas penduduk jati negeri sendiri apabila bertindak mengusir penyewa PPR Taman Manggis.
Ustaz Fauzi turut menyatakan sokongannya kepada usaha pembangunan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) untuk mengurangkan masalah kesesakan di pulau tersebut.
Pun begitu tempelaknya, pembangunan super mewah bersama pembinaan tiga pulau buatan yang dirancang itu sedang mengancam alam sekitar dan masa depan mata pencarian rezeki para nelayan.
Sedangkan ujarnya, selama ini kerajaan negeri menguar-uarkan tema kehijauan dan penjagaan alam sekitar, tetapi kini turut menjejas dan mengorbankan kesejahteraan hidup penduduk anak jati pulau itu.
Majlis yang dihadiri Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin itu turut melancarkan dana pembinaan Kompleks PAS (KOMPAS) Pulau Pinang dengan sasaran kutipan RM15 juta di tapak sama.
Turut serta memanaskan pentas pidato itu adalah Adun Penaga yang juga Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah dan Pengarah Pilihan Raya PAS Pulau Pinang, Bukhori Ghazali. – HARAKAHDAILY 1/4/2019